Realisasi strategi jana, kekal pekerjaan rakyat

- Advertisement -

YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Hj Mohd Yassin hari ini telah mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Pekerjaan Negara atau National Employment Council (NEC) secara maya. 

NEC dibentuk bagi merealisasikan strategi menjana dan mengekalkan pekerjaan selaras dengan matlamat pertama Belanjawan 2021 iaitu ‘Kesejahteraan Rakyat’. NEC merupakan majlis tadbir urus tertinggi dalam penetapan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif Kerajaan khusus dalam mencapai sasaran mencipta lebih banyak peluang pekerjaan serta menangani isu pengangguran. 

- Advertisement -

Penubuhan majlis ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan dalam memastikan pemulihan dan rangsangan sektor ekonomi di Malaysia berjaya dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh, berpandukan data dan sepadan dengan permintaan industri semasa, di samping mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi negara. 

NEC memainkan peranan yang penting bukan sahaja bagi meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan bahkan untuk menangani isu-isu lain yang berkaitan seperti kekurangan pekerja di sektor tertentu (underemployment), kesaksamaan peluang untuk golongan rentan dan penggajian. 

Majlis yang dianggotai oleh menteri-menteri berkaitan itu akan turut disertai wakil sektor swasta dan industri yang akan diumumkan kelak. NEC akan bermesyuarat sekerap mungkin mengikut keperluan semasa. 

Selain itu, NEC akan disokong oleh sebuah Pasukan Petugas Peringkat Tinggi dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara yang bertindak menyelaras 5 buah Pasukan Petugas Khas peringkat jawatankuasa kerja seperti berikut: 

(1) Pasukan Petugas Khas Pendidikan Nasional. 

(2) Pasukan Petugas Khas TVET. 

(3) Pasukan Petugas Khas Sumber Manusia dan Keusahawanan. 

(4) Pasukan Petugas Khas Real Economy. 

(5) Pasukan Petugas Khas Deeptech & Future Skills. 


Pasukan Petugas Khas ini bertanggungjawab melaporkan status pelaksanaan di bawah kluster masing-masing kepada Pasukan Petugas Peringkat Tinggi secara bulanan. 

Unit LAKSANA, Kementerian Kewangan akan bertindak selaku Sekretariat NEC dan memantau kemajuan pelaksanaan setiap program di bawah inisiatif NEC supaya lebih efektif berpandukan penilaian yang bersesuaian dari masa ke masa. 

Selaras dengan penubuhan NEC, warganegara yang terkesan atau sedang mencari pekerjaan boleh mula mendaftar di portal MyFutureJobs https://www.myfuturejobs.gov.my/ . Portal ini merupakan pusat sehenti dan rujukan utama kepada rakyat bagi inisiatif berkaitan pekerjaan termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula. 

Dengan penubuhan NEC, YAB Perdana Menteri yakin inisiatif penciptaan pekerjaan bermula tahun 2021 dan ke hadapan akan menjadi lebih terancang dan dilaksana secara menyeluruh, bersepadu dan berkesan. Usaha ini akan dipandu oleh Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional yang akan dibangunkan kelak bagi memacu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi serta menjamin kesejahteraan hidup rakyat. 

PEJABAT PERDANA MENTERI 
10 Disember 2020 

Keahlian Tetap Majlis Pekerjaan Negara 

Pengerusi: YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin Perdana Menteri 

Pengerusi Ganti: YB Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz Menteri Kewangan 

Ahli Tetap 

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri 

YB Senator Dr. Mohd Radzi Md Jidin Menteri Kanan Pendidikan 

YB Datuk Seri Saravanan A/L Murugan Menteri Sumber Manusia 

YB Datuk Seri Rina Mohd Harun
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad Menteri Pengajian Tinggi 

YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee Menteri Pertanian dan Industri Makanan 

YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) 

YB Dato’ Saifuddin Abdullah Menteri Komunikasi dan Multimedia

YB Datuk Dr. Hj Abdul Latiff Ahmad Menteri Pembangunan Luar Bandar 

YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican Menteri Belia dan Sukan 

YB Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi 

YBhg. Tan Sri Mohd Zuki Ali Ketua Setiausaha Negara – HARAKAHDAILY 10/12/2020

- Advertisement -