Rasuah dan keberkatan rezeki

- Advertisement -

AL-QURAN membentangkan kisah rasuah melalui kisah Nabi Allah Sulaiman A.S. Dalam ayat lain, Allah menggunakan kalimah As Suht dan Aklu Amwal An Nas bilbathil yang merujuk kepada persoalan rasuah. Di dalam kisah melalui ayat 35 hingga 37 surah An-Namlu Allah berfirman:

- Advertisement -

وَإِنِّی مُرۡسِلَةٌ إِلَیۡهِم بِهَدِیَّةࣲ فَنَاظِرَةُۢ بِمَ یَرۡجِعُ ٱلۡمُرۡسَلُونَ

“Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita.”


فَلَمَّا جَاۤءَ سُلَیۡمَـٰنَ قَالَ أَتُمِدُّونَنِ بِمَالࣲ فَمَاۤ ءَاتَىٰنِۦَ ٱللَّهُ خَیۡرࣱ مِّمَّاۤ ءَاتَىٰكُمۚ بَلۡ أَنتُم بِهَدِیَّتِكُمۡ تَفۡرَحُونَ

“Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).”

ٱرۡجِعۡ إِلَیۡهِمۡ فَلَنَأۡتِیَنَّهُم بِجُنُودࣲ لَّا قِبَلَ لَهُم بِهَا وَلَنُخۡرِجَنَّهُم مِّنۡهَاۤ أَذِلَّةࣰ وَهُمۡ صَـٰغِرُونَ

“Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari Negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.”

Hadiah sebagai bahan menguji pemimpin

Melalui kisah di atas, Ratu Saba` menerima surat daripada Nabi Sulaiman supaya tunduk dan menyerah kepadanya. Melalui pengetahuannya bahawa Nabi Sulaiman memiliki kerajaan yang besar, Ratu Saba` memilih untuk tidak memeranginya, lalu memutuskan supaya dihantar hadiah yang banyak kepada mereka. 

Ibnu Abbas menyebutkan, “Jika beliau (Nabi Sulaiman A.S) menerima hadiah ini maka dia adalah Raja (iaitu merujuk kepada mana-mana raja yang suka kepada kuasa dan harta) maka kita akan perangi mereka, jika beliau menolaknya, maka dia adalah Nabi, kita akan tunduk kepadanya.”

Sememangnya manusia memang sangat berhajat kepada harta, maka aspek ini menjadi titik utama kelemahan mereka yang menjadi pemimpin.

Rasuah bukan sumber rezeki

Apabila rombongan yang membawa hadiah yang banyak sampai ke Baitul Maqdis dan membentangkan hadiah mereka, ternyata Nabi Sulaiman menolaknya dengan keras! Bahkan Nabi Sulaiman menempelak mereka dengan perbuatan merasuahnya melalui hadiah. Kata Nabi Sulaiman, “apakah kalian cuba merasuah aku dengan harta ini?”. Kata Ibnu Kathir, “adakah kalian mahu mempermainkan aku dengan harta?”

Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi menafsirkan ayat 35 surah An-Namlu seakan-akan Nabi Sulaiman berkata seperti berikut, “Aku bukanlah orang yang memberi rasuah dengan nama hadiah, kerana Allah telah memberi kekayaan kepadaku dengan begitu banyak pemberian. Bahkan kalianlah golongan yang suka pemberian rasuah dan hadiah.”

Ternyata Nabi Sulaiman mendidik kita supaya tidak mengejar rezeki dengan jalan rasuah, bahkan mesti memahami bahawa jalan rasuah itu boleh hadir dengan berselindung di atas nama hadiah atau sedekah.

Kaum Saba` memeluk Islam

Akhirnya, berkat keyakinan Nabi Sulaiman A.S akan rezeki itu datangnya dengan jalan yang diredhai oleh Allah, lalu Allah membuka lagi pintu keberkatanNya dengan keIslaman Ratu Saba` dan seluruh pengikutnya. Firman Allah:

قَالَتۡ رَبِّ إِنِّی ظَلَمۡتُ نَفۡسِی وَأَسۡلَمۡتُ مَعَ سُلَیۡمَـٰنَ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ

“Dia(Ratu Saba`) berdoa: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam “.”

[an-Naml: 44]

Pemulihan berintegriti 

Recovery with Integriti menjadi slogan Sambutan Anti Rasuah Antarabangsa bagi tahun 2020 perlu diamati melalui Kisah Nabi Sulaiman A.S. Integriti hendaklah bertitik tolak dari keimanan dan ketakwaan kepada Allah terlebih dahulu, seterusnya kejujuran pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat bawahan, berbanding terbeliak mata melihat khazanah kekayaan yang tidak pernah dinikmati sebelum ini.

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 10/12/2020

- Advertisement -