Kemelut Perak pengajaran buat semua – Kamaruzaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Atas semangat muafakat antara PAS, BN dan BERSATU akhirnya kemelut politik di Perak dapat diselesaikan.

Ia atas persetujuan bersama pemimpin politik daripada ketiga-tiga parti itu memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dato’ Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak sebagai Menteri Besar Perak.

- Advertisement -

Persetujuan itu dicapai bersama selepas Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memeterai persetujuan di Bangunan Parlimen petang semalam.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid menyampaian permohonan maaf atas kekhilafan ADUN BN Perak sehingga Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Ahmad Faisal Azumu terpaksa meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

Dalam persidangan DUN pada Jumaat lepas, ADUN Pengkalan Baharu, Dato’ Abdul Manap Hashim daripada BN telah mengemukakan usul undi percaya terhadap Ahmad Faisal.

Ahmad Faisal yang juga ADUN Chenderiang bagaimanapun gagal memperoleh sokongan majoriti bagi usul itu apabila daripada 59 ADUN Perak, hanya 10 menyokong manakala 48 lagi menolak dan satu undi rosak dalam undi sulit yang diputuskan oleh Speaker DUN Dato’ Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad berkata, kemelut di Perak perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak sama ada PAS, Umno dan BERSATU.

Menurut Kamaruzaman, sebarang permasalahan perlu diuruskan dengan baik untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang isu yang lebih besar.

“Alhamdulilah semua dapat diselesaikan dengan baik atas semangat muafakat daripada ketiga-tiga rakan komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri Perak,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau turut berharap pembentukan kerajaan baharu di Perak dapat meneruskan kecemerlangan kerajaan yang ada sebelum ini ke arah kerajaan yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat dengan baik. – HARAKAHDAILY 10/12/2020

- Advertisement -