EIA teroka REE dipertimbang secara profesional

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi jaminan laporan Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi penerokaan mineral ‘rare earth elements’ (REE) di Kedah akan dipertimbang dengan profesional dan teliti untuk memastikan kelestarian alam sekitar akan terjamin.

Menteri berkenaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sehingga kini Jabatan Alam Sekitar (JAS) belum menerima sebarang permohonan untuk kelulusan laporan EIA projek itu.

- Advertisement -

“Kementerian memandang serius akan impak yang ketara kepada alam sekitar dan menyarankan supaya kawasan sensitif alam sekitar ini dilindungi dan dipelihara sepenuhnya bagi menjamin kesinambungan ekosistem itu bagi bekalan air yang selamat, pengairan bagi jaminan sumber makanan, perlindungan ekosistem, flora dan fauna,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang mahu kementerian menyatakan langkah untuk melindungi Ulu Muda iaitu sumber air mentah bagi keperluan 4.2 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang daripada kesan pencemaran toksik sekiranya diteruskan penerokaan REE di Kedah seluas 163,000 hektar.

Justeru, katanya, KASA sebagai agensi utama dalam memastikan kelestarian alam dan air, ingin menegaskan bahawa melindungi alam sekitar bagi kelangsungan fungsi ekosistem untuk jangka masa panjang perlu diutamakan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan negara.
 
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata kawasan Ulu Muda merupakan kawasan tadahan air bagi tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, dan kerajaan Kedah berkorban untuk tidak meneroka kawasan itu. 

“Untuk makluman, setakat ini ,saya baru mengesahkan dengan Menteri Besar Kedah bahawa beliau memberi jaminan kawasan tadahan air tidak akan diterokai dan mana-mana kawasan pembalakan yang diluluskan sebelum ini yang melibatkan kawasan tadahan air turut diberi jaminan oleh beliau bahawa kawasan itu akan diganti dengan kawasan yang lain. 

“Di atas pengorbanan besar kerajaan negeri Kedah, alangkah baiknya jika Pulau Pinang yang mendapat manfaat banyak itu dapat menyumbang dalam bentuk kewangan kepada Kedah yang telah berkorban untuk kawasan tadahan air bagi memastikan negeri-negeri yang memerlukan sumber air adalah terjamin,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -