DUN Melaka lulus Belanjawan 2021

- Advertisement -

MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan Belanjawan Negeri 2021 bagi membolehkan pentadbiran dan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.

Rang Undang-undang Perbekalan (2021) 2020 (Belanjawan 2021) Melaka yang memperuntukkan sejumlah RM520.86 juta membabitkan bajet keseluruhan berjumlah RM445.86 juta manakala RM75 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan telah dibahaskan 17 Ahli DUN di pihak kerajaan dan pembangkang.

- Advertisement -

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika menggulung perbahasan berkata perbelanjaan mengurus sebanyak RM445.86 juta itu menyaksikan peningkatan sebanyak 14.32 peratus berbanding RM390 juta tahun lepas kerana kerajaan negeri mengutamakan pemberian kepada rakyat.

“Pada tahun 2020, kerajaan negeri menyediakan sejumlah RM27.05 juta manakala bagi 2021, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM54.54 juta untuk menampung pelbagai inisiatif kepada rakyat. Kerajaan negeri tidak melaksanakan perbelanjaan secara bermewah.

“Prestasi perbelanjaan kerajaan negeri sehingga 7 Disember lepas mencatatkan sejumlah RM332.40 juta berbanding kutipan hasil sebenar iaitu RM340.96 juta dengan lebihan berjumlah RM8.56 juta. Ini menunjukkan kerajaan negeri meneruskan perbelanjaan berhemat dan bukan perbelanjaan bermewah,” katanya pada persidangan DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.
 
Belanjawan yang dibentangkan semalam, bertemakan Melaka Rumahku, Merancak Ekonomi, Membahagia Rakyat, Menggamit Dunia itu adalah berpaksikan misi terbaharu Melaka berasaskan T.E.R.A.S iaitu teknologi, entrepreneurship (keusahawanan), revolusi industri dan ekonomi, antarabangsa dan sejahtera.

Turut diluluskan usul melantik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Melaka Datuk Koh Nai Kwong anak jati Kampung Machap, Durian Tunggal dekat sini sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili negeri itu.

Usul itu dicadangkan Sulaiman (BN-Lendu) dan disokong Datuk Ghazale Muhamad (BN-Rim) sebelum sesi menggulung perbahasan dan mendapat persetujuan 17 daripada 28 anggota dewan.

Koh, 59, yang merupakan Ketua Bahagian MCA Alor Gajah, berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-undang Universiti Wales dan mula aktif dalam bidang politik pada 2004.

Ketika mencadangkan usul itu, Sulaiman berkata berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki Koh, beliau percaya Ketua Bahagian MCA Alor Gajah berkenaan mampu menggalas tanggungjawab tersebut dengan membawa isu pembangunan dan rakyat di peringkat negeri ke peringkat nasional. – BERNAMA

- Advertisement -