Selesai kemelut Perak: Pujian kepada BERSATU, PAS, Umno

- Advertisement -

BANYAK pihak, kecuali Nga Kor Ming dan kawan-kawannya, pasti merasa lega dengan penyelesaian kepada kemelut politik yang berlarutan di Negeri Perak sejak 4 Disember lalu ekoran perbincangan dan persetujuan yang dicapai antara Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pada petang tadi.

Tindakan Pengerusi BN menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak ADUN-ADUN BN Perak di atas kekhilafan yang berlaku adalah satu tindakan berjiwa besar yang sekali gus mendorong ketiga-tiga parti untuk bersetuju mencadangkan nama Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad, sebagai Menteri Besar Perak yang baru untuk diperkenankan oleh Sultan Perak.

- Advertisement -

Pujian perlu diberikan kepada pimpinan BERSATU Perak yang sejak awal bersetuju untuk melakukan peralihan kuasa secara aman selain pimpinan BERSATU Johor yang tidak bertindak-balas ke atasnya dengan tidak cuba membawa usul sama terhadap Menteri Besar Johor dari Umno.

Pujian juga perlu diberikan kepada pimpinan PAS yang memainkan peranan sebagai orang tengah di dalam memastikan pertikaian antara pimpinan Umno dan BERSATU tidak berpanjangan walaupun pada awalnya PAS sendiri tegas tidak mahu menyertai kerajaan baru.

Turut tidak terkecuali daripada perlu dipuji ialah pimpinan Umno sendiri yang tidak cepat terpengaruh dengan ajakan ADUN-ADUN DAP, PAN dan PKR untuk membentuk kerajaan baru bersama mereka walaupun ajakan sebegitu sebenarnya agak menggiurkan.

Setelah kemelut ini selesai, adalah dijangkakan bahawa pimpinan tertinggi Umno, BERSATU dan PAS di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri akan mengambil tindakan yang lebih bijaksana dan berhemah dalam memastikan permasalahan begini tidak berulang.

Di peringkat pusat, pembentukan Majlis Presiden melibatkan Presiden semua parti yang menganggotai Kerajaan Pusat, yang telah dipersetujui oleh semua, perlulah dipercepatkan dan mesyuaratnya perlulah diadakan sekerap mungkin bagi menyelesaikan masalah.

Begitu juga di peringkat negeri, Menteri Besar Perak yang baru perlulah mewujudkan mekanisme serupa membabitkan Pengerusi semua parti yang menganggotai Kerajaan Negeri bagi memastikan masalah di peringkat negeri dapat dibincangkan mengikut saluran.

Lebih-lebih lagilah dalam keadaan di mana ADUN-ADUN serta ahli-ahli BERSATU dan PAS Perak masih terkeduh manakala ADUN-ADUN DAP, PAN dan PKR, yang pasti kecewa dengan perkembangan terbaru, masih galak mengintai ruang bagi kembali merebut kuasa.

Menyedari bahawa BN tidak mampu untuk menubuhkan kerajaan secara bersendirian, Menteri Besar Perak yang baru juga perlulah merujukkan perkara besar yang mahu beliau lakukan dengan sekutu-sekutunya, tidak meminggirkan mereka serta mengakomodasi pandangan mereka.

Semoga Perak akan lebih maju jaya di bawah kepimpinan Menteri Besar yang baru serta semoga apa-apa luka yang mungkin ada di kalangan sesama pemimpin mahupun sesama penyokong di peringkat bawah akan segera sembuh dan tidak akan menjadi nanah yang boleh menyakitkan.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 9/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -