Projek durian PAS PD bakal jana pendapatan

- Advertisement -


PORT DICKSON: PAS Kawasan Port Dickson (PD) telah melancarkan Projek Durian Mampu Milik yang dijangka menjana pendapatan sekitar RM10,000 semusim di mana bakal diusahakan di atas tanah wakaf ahlinya berkeluasan 1 ekar di Sungai Menyala, di sini.

Projek fasa 1 ini dijalankan dengan usahasama RSELITE Management yang akan mengurus dan menjalankan tanaman durian sehingga tamat kontrak antara pelabur dan pemaju bagi tempoh 15 tahun, sebelum diserahkan kepada PAS Port Dickson.

Pengarah Projek, Abdul Rahim Mansor berkata, dianggarkan sebanyak 40 pokok durian pelbagai jenis akan ditanam iaitu Musang King, Udang Merah, Duri Hitam, IoI dan Datok Nina, di mana sepokok berharga RM1,500 telah habis dijual kepada ahli-ahli PAS.

“Dijangka pada tahun ke enam, projek ini akan mengeluarkan hasil dan dijangka, projek ini dapat memberi pulangan anggaran sekitar RM30,000 hingga RM40,000 semusim.

“Setelah ditolak bahagian pelabur mengikut pecahan yang telah dipersetujui iaitu 50/50. Dijangka projek ini akan menjana pendapatan PAS Port Dickson sekitar RM10,000 semusim,” ujarnya pada perasmian kelmarin.

Dimaklumkan juga, pendapatan dari projek ini akan digunakan sepenuhnya bagi menampung perbelanjaan aktiviti PAS Port Dickson, 11 PASTI dan sebuah SRITI, serta ktiviti NGO PRIHATIN PD yang menggerakkan usaha-usaha kebajikan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustafa juga telah diberi taklimat bahawa pelaksanaan fasa 2 dijangka akan diusahakan pada awal tahun 2021 di atas sebidang tanah berkeluasan 2 ekar di Sungai Raya, Linggi, di sini.

Difahamkan, status tanah tersebut adalah secara pajakan bagi tempoh 25 tahun dari tarikh diusahakan dengan harga RM2,340 sepokok dan dijangka 80 pokok durian pelbagai jenis akan dapat ditanam di atas tanah tersebut.

Antara pimpinan PAS Negeri Sembilan dan Port Dickson yang hadir adalah Ketua Penerangan, Badzli Bakar dan Yang DiPertua, Ustaz Abdul Fatah Zakaria serta Pengarah Urusan RSELITE Management, Rahman Shah Aris. – HARAKAHDAILY 8/12/2020

- Advertisement -
- Advertisement -