Bola sepak T’ganu jalin hubungan kelab luar negara

- Advertisement -

TEMPOH hari saya disoal wartawan selepas Dialog Halatuju Bola Sepak Terengganu anjuran peminat bola sepak Terengganu. Antara soalan yang dikemukakan wartawan ialah berkenaan agenda menjalinkan hubungan dengan kelab-kelab luar negara.

Saya tegaskan, usaha menjalinkan hubungan baik dengan kelab-kelab bola sepak luar negara dan dalam negara antara komitmen yang diusahakan secara berterusan. Suasana pandemik COVID-19 sukarkan suasana untuk tahun ini dan mungkin juga tahun depan. Lalu, saya diasak lagi, adakah sebelum ini telah ada perbincangan dengan mana-mana kelab luar negara?

Saya nyatakan, ya. Sebelum ini ada tapi terputus. Tahun lepas kita telah lakukan rundingan dengan Kelab Sporting CP (Sporting Clube de Portugal) yang berkebetulan Ketua Eksekutif Sporting CP, Miguel Cal dan Nuno Azevedo e Cardoso mengunjungi Malaysia pada September 2019 yang lalu. Waktu itu, delegasi ini turut sama mengunjungi Tan Sri Vincent Tan pemilik Cardiff City FC, CEO MFL (waktu itu), Kevin Ramalingam dan Pengarah Teknikal NFDP, Saad Ichalalene. Saya dan beberapa rakan dari PBSNT turut sama-sama terlibat dalam satu pertemuan tertutup dengan delegasi mereka di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Itu kali pertama saya maklumkan kepada umum. Itupun untuk menjawab soalan wartawan sama ada wujud perbincangan atau tidak dengan mana-mana kelab luar negara. 

Kenapa tidak pernah kemaskini perkembangan ini? 

Pada saya dan rakan-rakan, biarlah ia menjadi kenyataan terlebih dahulu barulah kita maklumkan. Sekadar perbincangan tidaklah perlu untuk diuar-uarkan. Perkembangan seterusnya agak sukar dijangka. Biarlah kita lalui fasa yang sukar ini secara berfokus dan mengikut roadmap yang telah disusun bersama. Untuk belajar dan tingkatkan kualiti, Insya-Allah kita akan teruskan kerana kita tidak akan rugi. Saya komen perkara ini setelah melihat ia menjadi ulasan di media massa. Sekadar untuk makluman semua peminat bola sepak Terengganu.

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan & NGO Kerajaan Negeri Terengganu
ADUN Tepoh – HARAKAHDAILY 7/12/2020

- Advertisement -