Bekas pelajar UPAYA PAS Johan e-Tarannum

Ziarah Kasih Alya Ilyana
- Advertisement -

TAWAU: Bekas pelajar Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain Unit Pengupayaan OKU (UPAYA) PAS Tawau, Alya Ilyana Nor Hanizam,11, berjaya merangkul Johan pertandingan e-Tarannum peringkat kebangsaan.

Pelajar tahun 3 Sekolah Pendidikan Khas Tuaran itu bergelar juara dalam kategori kurang upaya penglihatan perempuan sekolah rendah peringkat kebangsaan bersempena Karnival e-Mahabbah Pendidikan Khas, pada Jumaat

Menurut Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakat PAS, Mohamad Husain, menjaga anak-anak Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah satu anugerah daripada Allah SWT dan mereka yang terpilih akan dikurniakan ganjarannya.

Katanya, pihak beliau turut gembira dengan kejayaan tersebut dan berharap orang ramai akan bersama memberi perhatian kepada insan-insan istimewa di luar sana.

- Advertisement -

Mengulas lanjut, kata Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau itu, selain bantuan pemberian A-Quran Braille, Alya Ilyana turut diberikan sumbangan kerusi roda.

Namun katanya, bantuan akses kepada pendidikan amat perlu dipergiatkan lebih lanjut, ujarnya semasa berucap di majlis ringkas ziarah dan penyampaian cenderahati kepada Alya Ilyana di Felda Umas-Umas, semalam.

Mohamad mengambil kesempatan itu dengan mengucapkan tahniah kepada Alya Ilyana dan ahli keluarganya serta para pendidik dan ‘team‘ UPAYA PAS Tawau yang telah mendidik dan mengajar Alya Ilyana mengenal dan membaca Al-Quran Braille sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Sabah, Ustaz Rosli Hasan turut mengucapkan tahniah kepada kedua ibu-bapa dan penjaga Alya Ilyana atas kesabaran mendidik Alya Ilyana sehingga berjaya ketahap itu.

Katanya, beliau berharap kejayaan Alya Ilyana tidak terhenti di situ sahaja dan akan terus melakar nama di dalam seni Tarannum.

“Kita tidak pernah meminggirkan golongan ini dan UPAYA Tawau akan sentiasa berusaha memberikan bantuan mengikut kemampuan yang kami ada,” katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Tawau dan Pengerusi UPAYA Tawau.

Mewakili keluarga Alya Ilyana, ibu saudaranya, Ustazah Siti Nor Hassimah Hassan berkata, keluarga Alya Ilyana mengucapkan ribuan terima kasih kepada rombongan Ziarah Kasih Alya Ilyana itu.

Beliau turut menzahirkan rasa terharu di atas penghargaan itu.

Turut serta dalam ziarah tersebut adalah Timbalan YDP Tawau, Ustaz Mohamad Nasir Che Ali dan beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Tawau serta AJK UPAYA Tawau. – HARAKAHDAILY 7/12/2020

- Advertisement -