Pintu kawalan air RM1.8 juta di Bukit Gedombak

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Kerajaan pusat akan membina pintu kawalan air pasang surut bernilai antara RM1.5 hingga RM1.8 juta di Bukit Gedombak di sini dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pintu air berkenaan bertujuan untuk mengawal air masam kelat dan mengurangkan ancaman banjir dan bekalan air bersih yang mencukupi.

- Advertisement -

Beliau berkata projek itu penting kerana pada masa ini kerajaan negeri menghadapi masalah bekalan air bersih ketika ini terutama di Pasir Puteh.

“Sedangkan punca untuk mendapatkan bekalan air pada masa ini berlebihan sekiranya kita berusaha untuk menanganinya,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke program tinjauan ke Tidal Gate Control (TCG) di Kampung Gong Kulim di sini, hari ini.

Katanya pada masa ini, keadaan parit di kawasan berkenaan sukar dikawal dari kemasukan air masam kelat kerana arusnya berpusing.

Mengenai pintu air pasang surut di Gong Kulim beliau berkata ia berfungsi dengan baik bagi menawal air banjir turun ke laut menyebabkan bandar Pasir Puteh terselamat daripada ancaman banjir yang melanda tiga hari lepas.

“Ini disebabkan air cepat kering berbanding sebelum ini yang memakan masa beberapa hari daripada surut,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2020

- Advertisement -