Penyerang JDT kemalangan, anggota keluarga maut

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Bayi lelaki pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Syafiq Ahmad yang baru berusia 22 hari antara tiga yang maut dalam kemalangan awal pagi ini di mana turut menyaksikan penyerang JDT itu berserta dua lagi ahli keluarganya cedera.

Dua lagi yang maut dalam nahas kira-kira 5:30 pagi di Km163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap itu ialah ibu mentuanya  Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Muhammad Syafiq, 25, serta seorang lagi anak perempuannya, dikenal pasti sebagai Aaira Nur Saffiya, 2, cedera ringan, namun isterinya Nur Amalina Nur Ain, 25, cedera parah. 

- Advertisement -

Jurucakap itu berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada 5:36 pagi dan sepasukan anggota berserta sebuah jentera digegaskan ke lokasi.

“Setiba di lokasi, didapati sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire dalam keadaan remuk teruk selepas dipercayai terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan. Terdapat enam mangsa dengan tiga daripada mereka tersepit di dalam kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi.
 
Menurut jurucakap itu, kesemua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat manakala yang cedera pula dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

Bernama difahamkan kenderaan tersebut dipandu oleh Muhammad Syafiq.

Sumber polis daripada Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Selatan mengesahkan kejadian. – BERNAMA 

- Advertisement -