PAS-Umno pertahankan MN

- Advertisement -

KUALA NERUS: Kemelut politik yang berlaku di Perak berkait dengan Usul Undi Percaya terhadap Menteri Besarnya, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, itu diyakini tidak akan merebak ke negeri-negeri lain.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu yang berlaku di Perak itu selesai di Perak sahaja.

- Advertisement -

Katanya, meskipun kemelut politik pentadbiran di Perak itu digambarkan macam-macam tetapi bagi PAS akan selesai di negeri itu sahaja.

Menurutnya, dalam masa terdekat ini akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Umno di peringkat Muafakat Nasional (MN).

“Kita (MN) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dan saya telah pun dihubungi oleh rakan-rakan daripada Umno. Kita dalam jawatankuasa Muafakat Nasional dan akan duduk berbincanglah.

“Cuma, sehari dua ini kita akan bincang dahulu di peringkat parti (PAS) sebelum berbincang dengan Umno dan parti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerjanya ke Terengganu bagi meninjau kawasan hakisan pantai yang teruk di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit, di sini, hari ini.

Ketika ditanya, kemelut di Perak itu akan merebak ke negeri Johor, kata Dato’ Seri Tuan Ibrahim, PAS menjangkakan tidak sampai merebak ke negeri-negeri lain.

“Saya jangka tidak (Johor), isu di Perak selesai di Perak sahaja, Insya Allah. Walaupun, di luar digambarkan macam-macam tetapi bagi kita (PAS), kita akan cuba selesaikan di Perak.

“Kita (PAS) harap isu Perak tidak menjejaskan PN dan dengan muafakat kita (PN) saya rasa tidak sampai di peringkat federal dan tidak merebak ke negeri-negeri lain.,” tegasnya.

Malah, katanya PAS masih lagi sebahagian dari komponen penting dalam Muafakat Nasional yang melibatkan beberapa jawatankuasa tertentu.

“Dalam Muafakat Nasional, PAS masih sebahagian komponen penting. Kita (MN) ada mesyuarat bulanan pun dengan jawatankuasa (agihan) kerusi.

“Jadi dalam Muafakat Nasional, kita jawatankuasa PAS-Umno jalan, ada Jawatankuasa Induk, ada Jawatankuasa Peringkat Agihan Kerusi, mesyuarat baharu sahaja minggu lepas pun kita adakan mesyuarat.

“Kita harap isu Perak tidak menjejaskan MN dan dengan muafakat kita, saya rasa tidak sampai di peringkat federal ataupun tidak merebak ke negeri-negeri lain,” jelasnya.

Mengulas kenyataan, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang Umno bersedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan baharu di Perak, kata beliau ini berbeza dengan kenyataan Presiden Umno itu kepadanya.

“Saya mendengar kenyataan Dato’ Seri (Ahmad) Zahid, seboleh mungkin kita akan menjaga Muafakat Nasional.

“Saya fikir yang ditulis oleh media itu tidak begitu (tepat), saya dengar kenyataan dia (Zahid) sendiri, seboleh mungkin kita mempertahankan Muafakat Nasional ini,” jelasnya kepada pemberita.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jumaat lalu, Ahmad Faizal hilang kepercayaan Ahli Dewan dalam usul undi percaya yang dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Bharu, Abdul Manaf Hashim (BN).

Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada 25 ADUN Barisan Nasional, Bersatu (5), PAS (3), manakala pembangkang iaitu DAP (16), PKR (3), Parti Amanah Negara (PAN), parti Gerakan dan Bebas, masing-masing satu kerusi. – HARAKAHDAILY 6/12/2020

- Advertisement -