Islam: Mencapai rahmat Allah melalui pedoman Rasul

- Advertisement -

LIPIS: Dalam cabaran kehidupan hari ini dapat dilihat sebilangan manusia yang sudah jauh daripada syariat Allah S.W.T hingga meninggalkan kewajiban seperti perintah solat hingga menjadi kebiasaan tanpa rasa bersalah.

Maka, ujian COVID-19 ketika ini akan menyedarkan manusia untuk membawa diri kembali mentaati perintah Allah sebagaimana digariskan al-Quran dan al-Hadis serta mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W dalam kehidupan.

- Advertisement -

ADUN Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud menegaskan intipati tersebut semasa menyampaikan kuliah mengupas tajuk ‘Cinta Allah dan Cinta Rasul’ di Masjid Sayyidina Ali Kampung Tempoyang, di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, ujian Allah biarpun berupa kesenangan mahupun kesusahan adalah jalan-jalan kepada hidayah-Nya sesuai dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim kepada semua makhluk mahupun secara khusus kepada orang beriman.

“(Contoh) Air itu siapa yang punya? Kalaulah Allah tidak memberi rahmat-Nya (ar-Rahman) kepada semua makhluk, orang kafir tidak akan diberi minum walaupun sebesar sayap nyamuk,” jelasnya membezakan dengan sifat ar-Rahim.

Lantaran itulah terang beliau, sebagaimana ayat 159 surah Ali-Imran dibacakannya membuka kuliah ini, Islam datang sebagai rahmat dan dipimpin atas manusia secara berhikmah oleh pilihan-Nya iaitulah Nabi Muhammad S.A.W.

Kupas Ustaz Zuridan, nikmat terbesar Allah berikan kepada manusia adalah Islam yang merupakan hidup bersistem di mana mengajar manusia akhir zaman umat Nabi Muhammad dari sekecil perkara hingga sebesar perkara.

“Ia tiada dalam agama lain. Diberikan al-Quran menjadi panduan di mana kitab ini Allah pelihara sampai hari akhirat tak sama dengan kitab-kitab lain yang hanya sementara. Kandungan al-Quran lengkap untuk kehidupan manusia.

“Ada peristiwa lampau, semasa dan akan datang. Mesti menjadi teman sejati kita yang didampingi setiap masa, dipelajari, dibaca, difahami, dihafal, diamal dan diajarkan kepada sekalian umat manusia,” seru beliau.

Semua itu menurutnya, didakwahkan oleh khalifah yang diutuskan yakni Rasulullah menerusi tutur kata, tindak tanduk dan akhlak Baginda untuk diteladani oleh semua dalam mencapai kehidupan lengkap sempurna.

Ustaz Zuridan juga menjelaskan betapa Allah mengurniakan rahmat kepada hamba-Nya yang tersasar dengan peluang berupa pengampunan apabila dosa-dosa dilakukan dihapuskan dengan taubat.

Kerana itulah katanya, Allah mengaturkan solat bermula dengan menitikberatkan kebersihan diri diikuti waktu-waktu solat yang sesuai kehidupan manusia. – HARAKAHDAILY 6/12/2020

- Advertisement -