Sukarelawan temui mayat ketika rodaan banjir

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Seorang sukarelawan terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki dipercayai mati lemas ketika melakukan rondaan banjir di Kampung Tasek, Gong Kala, petang semalam.

- Advertisement -

Pada kejadian jam 4.15 petang tersebut Tengku Mohd Harith Tengku Azis, 39 berkata, sebelum itu beliau melakukan rondaan banjir di kawasan berkenaan selepas membantu anggota keselamatan memindahkan mangsa banjir.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, beliau terlihat topi keledar seperti terapung di kawasan banjir dan kebetulan seorang remaja cuba mengambil topi keledar berkenaan.

“Budak berusia 20-an itu beritahu topi keledar tersebut berat, saya kemudian cuba membantunya dan tiba- tiba ternampak sebahagian motosikal.

“Apabila diangkat motosikal, muncul mayat dengan masih memakai topi keledar dengan keadaan tertiarap,” katanya ketika dihubungi.

Tengku Harith yang juga Pengerusi Amal Team Kelantan berkata, beliau yang terkejut dengan penemuan mayat itu kemudian menghubungi Balai Polis Bukit Yong.

Katanya juga, berdasar keterangan keluarga mangsa, mereka memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah sejak malam kelmarin.

“Saya turut membantu menguruskan jenazah arwah secara percuma yang mana bantuan terbabit sebahagian program amal yang memang kami lakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Fahmie Abdullah @ Mahmud, 33 daripada Kampung Gong Depu, Pasir Puteh.

Katanya, siasatan awal dipercayai mangsa melintasi kawasan banjir untuk pulang ke rumah Khamis lalu, namun dipercayai lemas di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang unsur jenayah. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis dan kita masih meneruskan siasatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2020

- Advertisement -