Rumah mangsa banjir terbabit Kluster Covid disanitasi

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) kawasan Kluster Covid-19 tidak dibenarkan pulang sehingga rumah kediaman mereka disanitasikan.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Kamarulzaman Ab Wahab berkata, peraturan itu dibuat sebagai langkah keselamatan dan pencegahan bagi memastikan mereka tidak dijangkiti virus Covid-19 sebaik pulang ke kediaman masing-masing.

“Mereka terbabit perlu bersabar walau pun pada asasnya kediaman mereka selamat diduduki (dari ancaman banjir), “ katanya kepada pemberita pada upacara penutupan PPS di Dewan Komplek Kamil di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengenai Kluster baru (Huma) dikesan melibatkan daerah Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Ia merupakan kes indek (iaitu ke-68020) dilaporkan positif Covid-19 pada 2 Disember lepas hasil saringan kontak rapat.

Katanya, sehingga 4 Disember lepas, sejumlah 80 individu disaring di mana 20 kes dikesan positif Covid-19 melibatkan kluster berkenaan.

Kamarulzaman juga berkata, empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Petai, Dewan Komplek Kamil, SK Bukit Jawa 2 dan SK Changgai ditutup mulai pagi tadi.

Bagaimanapun, dua PPS iaitu SK Kamil 3 dan SK Wakaf Raja masih kekal beroperasi sebelum kediaman mereka disanitasikan selain masih dinaiki air.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Puteh, Wan Norhayati Wan Husain berkata, seramai 167 daripada 219 mangsa banjir dari empat PPS berkenaan dibenar pulang hari ini.

Kata beliau, pihaknya membelanjakan sebanyak RM25 sehari setiap mangsa bagi membekalkan makanan asas termasuk nasi bungkus dan air minuman sebanyak empat kali sehari sejak Khamis lepas.

“Ini tidak termasuk bekalan asas harian seperti beras, sardin dan gula bagi dua keluarga di Bukit Gedombak yang tidak dapat berpindah disebabkan halangan tertentu,“ katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2020

- Advertisement -