Pendakian Gunung Kinabalu dibuka semula 7 Dis

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Pembukaan semula aktiviti mendaki Gunung Kinabalu yang dijadual pada 7 Disember ini pastinya menggembirakan para malim gunung selepas hilang punca pendapatan sejak Mac, namun mereka perlu bersedia agar tidak mengalami mabuk gunung kerana tidak mendaki bagi tempoh yang lama.

Bercerita kepada Bernama, Jahimin Waimi, 50, yang menjadi malim gunung sejak 2004 mengakui perkara itu kerana pernah mengalami mabuk gunung apabila tidak mendaki dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan semasa berlakunya gempa bumi pada 2015.

- Advertisement -

Jahimin berkata beliau mengalami rasa pening dan mengantuk, simptom mabuk gunung, ketika berada pada ketinggian lebih 3,000 meter dari aras laut.

“Ia berlaku sebab perubahan pada ketinggian yang menyebabkan kekurangan oksigen,” katanya yang berasal dari Kampung Dumpiring, Kundasang.

Jahimin berkata biasanya beliau mendaki puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter dari aras laut itu antara lima hingga enam kali sebulan bergantung kepada jadual yang ditetapkan pihak Taman-Taman Sabah (TTS).
 
Berkongsi pengalaman sama Mohammad Somihin, 24, dari Kampung Lembah Permai Kundasang yang menjadi malim gunung sejak 2009 juga mengakui akan mengalami gejala mabuk gunung sekiranya lama tidak mendaki gunung Kinabalu.

Mohamad yang menjadi malim gunung secara tetap bermula pada 2014 berkata beliau menghadapi keadaan itu apabila berada di penginapan iaitu di Panabalan yang berketinggian 3,272 meter dari aras laut.

“Saya akan pening tetapi tidaklah teruk, masih boleh dikawal dan untuk hilangkan mabuk itu saya akan keluar dari bilik penginapan, hirup udara segar selain membiasakan badan dengan suhu sekeliling,” katanya yang juga seorang ahli Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar).

Mohammad berkata kali terakhir beliau mendaki adalah pada 17 Mac lalu dan berikutan penutupan aktiviti pendakian itu pendapatan sebagai malim gunung juga terjejas dengan ada antara malim gunung menjalankan aktiviti pertanian bagi menampung perbelanjaan seharian.

Berbeza pula bagi porter David Solunggin, 42, beliau tidak menghadapi sebarang masalah mabuk gunung walaupun tidak mendaki dalam tempoh masa yang lama namun mengakui beberapa rakannya ada mengalami masalah berkenaan.
 
Sepanjang tiga tahun menjadi porter yang membawa barangan keperluan kakitangan TTS ke Panalaban, beliau tidak mengalami keadaan itu.

“Waktu aktiviti pendakian ditutup, saya masih mendaki sekali atau dua kali seminggu untuk menghantar barangan keperluan kakitangan yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Panalaban,” katanya yang menetap di Pekan Nabalu.

Pada Rabu lalu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap jurucakap COVID-19 negeri Datuk Masidi Manjun dilaporkan berkata aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kinabalu akan dibuka pada Isnin ini dengan kapasiti jumlah pendakian tidak melebihi 50 peratus kapasiti pendaki yang dibenarkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Aktiviti mendaki ditutup sementara pada 18 Mac lalu berikutan pelaksanaan PKP sebelum dibuka semula pada 16 Mei lepas namun ia ditutup semula pada 9 Oktober bagi mengekang penularan pandemik COVID-19. – BERNAMA

- Advertisement -