PAS Sabah yakin kerajaan negeri tidak terjejas

- Advertisement -

TAWAU: Kerajaan Negeri Sabah yang dibentuk melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan sokongan PAS tidak akan terjejas dengan situasi politik terbaharu yang berlaku di negeri Perak.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata kerajaan Sabah yang baharu kekal senada dalam pemerintahan demi mandat dan kepercayaan yang telah diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) September lalu.

- Advertisement -

“PAS Sabah juga tidak akan terjejas susulan situasi terbaharu politik di Perak itu apabila Menteri Besarnya Ahmad Faizal Azumu dilapor tumbang ekoran gagal memperoleh sokongan majoriti wakil rakyat negeri itu.

“Isu di Perak bukanlah isu pertukaran kerajaan tetapi berkemungkinan hanya pertukaran Menteri Besar sahaja dan PAS Sabah tidak akan menerima sebarang impak, malah berkeyakinan kerajaan Sabah terus utuh di bawah Ketua Menteri sekarang,” katanya.

Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata demikian semasa ditemui pada lawatan kerja beliau ke daerah ini dalam program Sentuhan Kasih Jelajah Pantai Timur di sini, semalam.

Pada Jumaat, Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul keyakinan terhadapnya selepas hanya mendapat sokongan 10 ADUN dan 48 tidak menyokong manakala satu lagi berkecuali setelah undian secara bertulis dijalankan.

Dalam pada itu katanya, PAS Sabah kini sedang giat menambah keahlian bagi memperkukuh parti di samping melaksana pelbagai program bersifat kebajikan, pembinaan institusi dan keagamaan.

“Saya berkeyakinan pada masa akan datang, PAS akan menjadi salah satu parti politik yang dominan dan diterima oleh rakyat di negeri Sabah,”katanya

Sementara itu, beliau yang diminta mengulas berkaitan belanjawan negeri pada 18 Disember ini berkata, pihaknya optimis ianya akan memberi kegembiraan kepada semua lapisan masyarakat.

“Saya sangat berkeyakinan belanjawan negeri Sabah yang bakal dibentang di Dewan Undangan Negeri akan datang sudah pasti banyak memberi manfaat kepada rakyat sama ada peniaga, peladang dan golongan lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2020

- Advertisement -