Apa penyelesaian kemelut politik Perak?

- Advertisement -

DALAM perlembagaan negeri, tidak ada satu kaedah khusus untuk menentukan cara seseorang Menteri Besar hilang sokongan majoriti. Waktu DS Nizar hilang kuasa di Perak dahulu, ia diukur melalui lompatnya tiga orang ADUN, yang kemudiannya disahkan melalui pertemuan bersemuka setiap ADUN bersama Sultan Perak.

Kaedah yang biasa digunakan ialah melalui usul undi tidak percaya. Usul undi percaya sebenarnya agak ganjil, dan sepatutnya tidak perlu dibuat pun. Pihak kerajaan tidak perlu membuktikan seseorang Menteri Besar mendapat sokongan, sebab bukti sokongan hanya diperlukan ketika beliau dilantik oleh Sultan. Itu pun dibuat atas pertimbangan Sultan, bukannya melalui usul di dalam DUN.

- Advertisement -

Usul undi percaya bukan sahaja tidak perlu, bahkan ia ibarat jerat yang boleh merugikan kerajaan. Ia mungkin berguna sebagai senjata untuk pembangkang yang berhasrat menguji keutuhan kerjasama parti-parti kerajaan. Jadi bila ia digunakan oleh parti kerajaan, ia ibarat senjata makan tuan.

Jadi bila MB Perak kalah dalam undi percaya, maka dia dikira telah hilang sokongan. Mengikut Perlembagaan Perak dia perlu meletakkan jawatan, melainkan jika DUN dibubarkan oleh Sultan atas permintaannya. Jadi hanya ada dua pilihan: letak jawatan atau mohon bubar DUN.

Persoalannya, jika dia meletakkan jawatan, adakah Sultan mesti menerima peletakan jawatan itu? Jawapannya tidak semestinya. Sultan berhak membuat penelitian dan penilaian sebelum memutuskan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatannya.

Dalam situasi ini, parti-parti yang mempunyai anggota dalam DUN perlu cepat bertindak. Mana-mana pihak yang mampu mencukupkan jumlah sokongan melebihi majoriti, maka layak untuk mentadbir kerajaan negeri. Mereka perlu tentukan tokoh yang ingin dijadikan Menteri Besar, dan tokoh itu mesti mendapat sokongan sekurang-kurangnya 30 orang ADUN daripada jumlah keseluruhan 59 kerusi.

Dalam situasi biasa, jika tiada mana-mana ADUN mendapat kepercayaan majoriti, maka DUN wajar dibubarkan, untuk memberi peluang kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa 60 hari. Tapi dalam situasi wabak COVID-19 sekarang, ia bukan satu pilihan yang baik. Oleh itu terdapat beberapa kemungkinan bagi merungkaikan situasi ini:

Pertama, MB sedia ada dibenarkan terus mentadbir, walaupun dengan sokongan yang tidak mencukupi. Situasi ini dianggap sebagai ‘minority government’ atau kerajaan minoriti. Kerajaan ini bersifat sementara melainkan jika beliau berjaya mengumpulkan semula sokongan. 

Kedua, parti pembangkang berjaya mendapatkan sokongan tambahan dari ADUN Bebas atau ADUN kerajaan dan menubuhkan kerajaan baharu.

Ketiga, parti kerajaan mengadakan rundingan baharu dan kembali bergabung bagi memberikan sokongan kepada Menteri Besar yang baharu yang memiliki sokongan majoriti.

Keempat, tiada siapa yang layak mendapat sokongan majoriti sehingga memberi kesan kepada kelancaran kerajaan termasuklah untuk meluluskan belanjawan. Maka, DUN terpaksa dibubarkan dan PRN terpaksa diadakan.

Kelima, bagi mengelakkan PRN waktu wabak, maka kerajaan Persekutuan melalui YDPA mengisytiharkan darurat di Perak dan melantik mana-mana tokoh untuk memimpin Perak dalam tempoh berkenaan.

Sama-sama kita doakan agar Allah memberikan taufik dan hidayat kepada para pemimpin untuk memilih penyelesaian terbaik demi kesejahtaraan negara dan rakyat.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembangaan)
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 5/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -