Umno perlu dan akan buat keputusan terbaik

- Advertisement -

SEGMEN CePumas bersama Ketua Pemuda PAS merangkap Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ir. Ts. Khairil Nizam telah memberi pencerahan pendirian PAS. Tanpa mahu panjang lebar dan berliku, rumusan yang dapat saya buat:

(1) PAS tidak ada hasrat untuk tinggalkan Umno, malah amat menghargai persahabatan bersama Umno. Apabila ditanya, apa jaminan PAS tidak akan mufaraqah dengan Umno sepertimana mereka berpisah dari Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu, jawapan KP PAS jelas mahu memberi keyakinan kepada kita.

(2) Pada masa sama, PAS tidak ada hasrat untuk tinggalkan PPBM. Ini jelas, bukan hanya dalam wawancara ini tetapi juga dalam kenyataan Mursyidul Am PAS tempoh hari. Juga jelas dalam banyak kenyataan PAS selama ini.

- Advertisement -

(3) PAS meletakkan aspirasi satu lawan satu (BN atau PN lawan PH) dan mengelak pertembungan tiga penjuru sebagai syarat untuk menang PRU15.

(4) Jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara Umno, PPBM dan PH di sesebuah kawasan, maka PAS dalam ‘impossible situation’ dan mungkin ambil pendekatan berkecuali. Yang untung adalah PH.

(5) PAS minta Umno hormat pendiriannya sepertimana PAS juga akan hormat pendirian Umno.

Maka apa tindakan Umno? Bagi saya:

Kawan sudah bercakap terbuka. Kita boleh pilih untuk terkilan, marah, terasa. Boleh pilih untuk persoal keikhlasan pasca pembentukan Kerajaan PN. Boleh pilih untuk mengata. Boleh pilih untuk cakap ‘cukup hanya MN tak perlu PN’ walhal rakan kita dalam MN telah tegaskan pendiriannya mahu bertiga, bukan berdua.

Atau kita boleh pilih untuk tenang, hormat pendirian sahabat kita tanpa kompromi aspirasi kita sebagai parti Kebangsaan terbesar Malaysia. Umno parti yang penuh bijaksana dan responsif kepada dinamika yang berubah. Saya pilih yang ini. 

Sambil kita hormat pendirian PAS, saya yakin PAS juga hormat bahawa keputusan untuk Umno adalah hak mutlak Umno, tanpa paksaan sesiapa. Maka Umno harus kembali kepada ‘option’ yang ada dan jangan bazir masa bercakap mengenai ‘option’ yang tidak lagi wujud. 

Boleh rujuk posting saya selepas CePumas bersama Tan Sri Annuar Musa untuk cadangan pilihan yang ada. Benar, tidak mustahil sesuatu berlaku yang membuka formula lain satu ketika nanti, tetapi kita berpegang kepada realiti – mengikut pemahaman saya, tiga ‘option’ yang ditulis itulah yang wujud sekarang ini. Mungkin ada cabang-cabang tertentu dalam setiap dari tiga itu, tetapi pendek cerita, tiga ‘option’.

Setelah selesai ‘survey’ situasi dengan komprehensif dan rasional, setelah runding dengan tegas tetapi adil berlandaskan syarat dan garis merah tertentu sepertimana telah digambarkan dalam wawancara CePumas bersama Dato’ Seri The Ahmad Maslan, maka Umno ambillah keputusan ‘option’ yang menjadi formula akhir. Kemudian kita berserah kepada Allah S.W.T. 

Tiada pilihan tanpa risiko. Yang penting, keputusan kena dibuat, supaya tiada lagi kekeliruan. Bak kata orang putih, ‘more is lost by indecision than by wrong decision’.

PAS sudah jelas dengan pendiriannya. Moga keputusan Umno kelak adalah yang terbaik bukan hanya untuk kelangsungan parti ini, tetapi juga yang terbaik untuk agama, bangsa, tanah air.

Wallahua’lam.

SHAHRIL SUFIAN HAMDAN
Ketua Penerangan Umno – HARAKAHDAILY 4/12/2020

- Advertisement -