Seru Umno terima BERSATU demi penyatuan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS berusaha menyatukan rakyat di mana komitmen tersebut hingga berlakunya pertukaran dari Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) yang sekali gus menyelamatkan negara daripada krisis politik ketika itu.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, episod bermula apabila penyatuan rakyat melalui Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno dimeterai rasmi kerana melihat pentingnya kesatuan Melayu.

“Dan ia diselamatkan oleh individu-individu yang mempunyai mindset yang sama iaitu menyelamatkan rakyat daripada krisis.

- Advertisement -

“Dan kita jangan nafikan, antara komponen yang menyebabkan tertubuhnya Kerajaan PN adalah (pihak) daripada kalangan BERSATU,” ujar beliau pada Wawancara Cepumas anjuran Umno Online yang bersiaran secara langsung malam tadi.

Kerana penyatuan itulah jelas Ir Ts Khairil, PAS mengambil pendekatan bersama MN memeterai perjanjian 14 September 2019 di PWTC dan juga bersama PN yang telahpun didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti-parti politik.

Demikian itu katanya, tiada janggal PAS berada dalam PN sebagaimana Umno berada dalam BN, di mana PAS dan Umno pula sama-sama berada dalam MN kerana asas terbesar kepada kebersamaan PAS, Umno dan BERSATU adalah untuk penyatuan.

Jurutera teknologi profesional ini tanpa menafikan kegusaran Umno terhadap BERSATU, namun mengajak untuk tidak melihat titik-titik keburukan, tetapi menguatkan lagi semua titik persamaan antara kedua parti tersebut.

Beliau sendiri menyatakan betapa pemuda walaupun mempunyai watak panas, ditambah PAS dan Umno mempunyai sejarah perang lebih 60 tahun, namun Pemuda PAS dan Pemuda Umno boleh saling menerima penyatuan antara kedua parti.

Perkara itulah ujarnya, menjadi jalan meredakan akar umbi di bawah dan seterusnya memimpin rakyat untuk bertenang dan boleh menerima serta belajar memaafkan dengan mempunyai sifat iffah yakni suci jiwa sebagaimana para Sahabat RA.

Penyatuan tanpa ada dominan

Cerita beliau, kaum Aus dan Khazraj yang pernah berperang lebih 120 tahun, telah disatukan Rasulullah dengan Islam di mana mereka kekal sebagai kaum dominan dan kuat (menjadi Ansar) di bumi Madinah, tetapi dengan iffah menerima Muhajirin.

“Sebab 13 tahun orang Makkah ini (Muhajirin), mereka bersama susah payah dengan Rasulullah, dan Rasulullah dijemput (oleh kaum Ansar) daripada bumi Makkah ke bumi Madinah untuk menyatukan mereka, menenggelamkan segala pertelingkahan lebih daripada 120 tahun.

“Bukankah ia satu hadiah yang besar dengan kehadiran Rasulullah? Mereka memberikan kembali hadiah tersebut dengan cara memaafkan. Dan kenapa tidak kita? Ini maksud saya,” ujarnya menyeru Umno menerima dan memaafkan BERSATU.

Demikian itu tegas Khairil Nizam, dalam mencapai perpaduan sebagai objektifnya, tidak harus ada pihak merasa dan menyatakan ia dominan, sebaliknya bersifatlah untuk memberi kebaikan kepada orang lain, selain bersabar dan ikhlas.

“Kita tahu Umno mempunyai kekuatannya tersendiri, PAS juga mempunyai kekuatannya. Dan BERSATU juga mempunyai kekuatannya. Saya rasakan setiap kekuatan itu perlu dinilai dengan lebih objektif. Ia tidak timbul soal dominasi, (tapi) ia timbul dari sudut objektiviti.

“Kenapa Umno perlu bertanding pada kerusi ini, kenapa PAS perlu bertanding pada kerusi ini, kenapa perlu BERSATU bertanding pada kerusi ini? Dan perlu ada give and take di antara sesama kita. Itulah formula asas kepada perpaduan. Formula asas kepada perpaduan ini ialah iffah, suci jiwa,” kupasnya.

Tambah beliau lagi, objektif penyatuan juga hanya akan tercapai dengan sifat adil dan berlapang dada, termasuk hubungan PAS, Umno dan BERSATU mesti dijaga daripada unsur atau tindakan individu dalam parti masing-masing yang boleh menggugatnya.

“Sebab itulah dalam berbicara mengenai perpaduan ini, terlampau banyak variable. Dan variable ini tak akan boleh selesai tanpa kita masuk dalam satu perikatan ataupun satu hubungan muafakat dengan hati yang ikhlas.

Tapi kalau kita belajar juga ‘aku nak menang, kau nak menang’, at the end of the day, yang (akan mendapat) menang adalah Pakatan Harapan. Sebab isu penting sekarang ini ialah musuh di luar yang bernama Pakatan Harapan lebih besar daruratnya.

“Kalau kita (PAS, Umno dan BERSATU) bertembung dan kalau kita tidak mahu belajar untuk menerima di antara kita, maka yang akan mendapat keuntungannya adalah Pakatan Harapan,” peringat beliau. – HARAKAHDAILY 4/12/2020

Laporan lanjut menyusul….

- Advertisement -