Pemulihan ekonomi perlu selari dengan pengisian rohani

- Advertisement -

KRISIS ekonomi akibat pandemik COVID-19 sudah dirasai kesannya sejak kebelakangan ini. Fenomena ini bukan setakat di Malaysia sahaja, bahkan seluruh dunia telah merasainya. Ribuan orang telah kehilangan pekerjaan dan boleh jadi ramai lagi yang akan mengalami nasib yang serupa jika tidak ditangani dengan baik. Walau bagaimanapun kita sebagai orang Islam, wajib yakin dan percaya ini semua ada hikmahnya dan sampai masanya pasti ada jalan keluar daripada krisis ini kerana firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا 

“Sesungguhnya bersama kesusahan itu akan ada kesenangan”

(al-Insyirah: 6)

Dalam masa yang sama, wajib juga diusahakan penyelesaian bagi masalah yang sedang dihadapi sekarang ini kerana Islam itu adalah agama penyelesaian bagi semua masalah yang dihadapi oleh manusia sama ada politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.

Penyelesaian ekonomi

Islam adalah agama yang realistik dan sesuai dengan fitrah manusia serta mempunyai kaedah yang paling berkesan dalam menguruskan isu-isu yang berbangkit dalam kehidupan manusia termasuklah ekonomi.

Syeikh Dr Yusuf Al Qaradawi telah menulis satu kitab bertajuk ( مشكلة الفقر وكيف عالجها الاسلام  ) (Masalah Kemiskinan dan Bagaimana Islam Menyelesaikannya). Disebut di dalam kitab ini beberapa kaedah Islam dalam menangani masalah kemiskinan seperti:

(1) Bermula daripada individu itu sendiri mencari pekerjaan di samping bantuan kerajaan menyediakan peluang-peluang pekerjaan, kemudian pemimpin masyarakat setempat berbincang dengan rakyat di kawasannya bagi mewujudkan peluang-peluang ekonomi baru ataupun perbincangan sesama ahli keluarga dan kawan-kawan bagi mendapatkan perkerjaan.

(2) Keduanya ialah memberikan kesedaran tanggungjawab nafkah di kalangan ahli keluarga sama ada suami isteri dengan anak-anak, anak-anak dengan ibu bapa, sesama adik beradik dan saudara mara yang lain. Ini kerana, jika manusia itu mengambil tanggungjawab terhadap orang-orang di sekeliling mereka seperti yang diajar oleh Islam pasti banyak masalah dapat diselesaikan walaupun tanpa bantuan kerajaan.

(3) Seterusnya menunaikan tanggungjawab dan hak terhadap jiran-jiran, dengan mengambil berat terhadap kebajikan dan prihatin terhadap masalah mereka, serta membantu masalah kewangan mereka jika ada.

(4) Sedekah-sedekah yang sunat yang amat besar pahalanya pada zaman ramai orang dalam kesusahan berbanding dengan zaman yang kurang tahap kesusahannya.

(5) Juga peranan masyarakat dalam melaksanakan konsep ukhuwwah Islam dan kemanusiaan, dengan saling bantu membantu antara satu sama lain dan jangan dibiarkan ada orang dalam kampung kita atau kawasan kita sama ada Muslim atau non-Muslim yang menghadapi masalah tanpa dibantu.

(6) Antara perkara wajib ditekankan ialah pembayaran zakat oleh orang-orang kaya. Ini kerana fungsi zakat telah terbukti keberkesanannya dalam membasmi kemiskinan di zaman kegemilangan Islam dahulu jika dilaksanakan sebaiknya.

Ini semua penyelesaian cara Islam selain daripada program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti Bantuan Prihatin, pemotongan cukai dan seumpamanya. Kita mesti yakin dan percaya jika cara Islam ini dilaksanakan sepenuhnya maka masalah ekonomi akan lebih cepat pulih dan masalah kemiskinan akan dapat diatasi.

Pengisian rohani perlu seiring dengan pemulihan ekonomi

Manusia apabila berada dalam keadaan terdesak akan melakukan perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan fitrah manusia dan di luar jangka, yang mana ianya boleh memudaratkan dirinya sendiri dan juga orang lain.

Lebih-lebih lagi apabila akal dan jiwa manusia itu kosong daripada panduan wahyu dan sebelum ini tidak diisi dengan makanan rohani dan akidah yang mantap, akan menjadikan masalah ekonomi bertambah parah ditambah dengan masalah sosial dan tekanan jiwa serta mental.

Sabda Nabi S.A.W:

كاد الفقر أن يكون كفرا

“Hampirlah kefakiran itu menjadi kekufuran.”

(Hadis Riwayat Abu Nu’aim)

Hadis ini walaupun dinilai dhoif oleh para ulamak, tetapi sebahagian ulamak ada yang menyatakan maknanya betul dan tidak bercanggah dengan nas-nas agama yang lain. Ini kerana seperti yang telah disebutkan, manusia apabila dalam keadaan terdesak dia sanggup melakukan apa saja termasuklah menggadai agama – semoga dilindungi Allah daripada perkara tersebut – jika tidak ada pengisian yang kukuh di dalam akal dan jiwanya.

Masalah ekonomi ditambah masalah sosial dan jenayah

Apabila manusia yang tiada persediaan akidah yang mantap dan pengisian rohani yang kukuh, masalah ekonomi seperti tiada pekerjaan atau dibuang kerja, hutang yang banyak, tanggungan yang ramai, bil-bil tertunggak dan lain-lain tuntutan kewangan akan mewujudkan suasana tekanan luar biasa, ditambah lagi dengan bisikan syaitan tanpa henti dan sentiasa mencari jalan untuk memusnahkan anak Adam sehabisnya.

Maka kesannya jika tidak diatasi dengan baik kita telah melihat peningkatan kes bunuh diri akibat bebanan hutang, bunuh kawan sendiri kerana terdesak, merompak, scammer yang menipu duit orang, perempuan yang menjual tubuh, pengedaran dadah dan lain-lain masalah jenayah serta sosial yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan jika tidak diatasi dengan baik.

Masalah rumah tangga juga semakin membarah yang salah satunya berpunca daripada masalah ekonomi. Kita mendengar begitu banyak kes penceraian, keganasan rumah tangga dan seumpamanya di musim COVID-19 ini. Perkara seperti ini jika tidak diberi perhatian serius dibimbangi ia akan menjadi bom jangka yang akan banyak memusnahkan institusi kekeluargaan dan akan memangsakan ramai dari kalangan anak-anak, seterusnya membawa kepada masalah juvana dan sosial yang lebih berat.

Pelan pengisian jiwa dan rohani

Sementara kita menunggu ekonomi menjadi pulih dengan pelbagai pelan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan serta penyelesaian-penyelesaian mengikut cara Islam seperti yang telah disebutkan, kerja memulih dan memantapkan rohani manusia perlu sentiasa berjalan, bahkan diperkasakan di musim darurat ekonomi ini. Ini kerana jika manusia itu mantap akidah dan jiwanya maka apa sahaja ujian dan musibah yang menimpanya tidak akan merosakkan dirinya, kerana dia telah mempunyai perlindungan diri yang kukuh dan syaitan tidak akan berjaya memesongkannya dari jalan yang benar.

Sebagaimana perlunya pelan-pelan pemulihan ekonomi dan dana untuk itu, amatlah perlu juga disediakan pelan-pelan rohani dan dana untuknya bagi mengimbangi kestabilan dalam kehidupan manusia. Ini kerana manusia terdiri dari jasad yang memerlukan makanan dan pakaian serta tempat tinggal, juga terdiri daripada rohani dan jiwa yang memerlukan makanan dan pengisian yang sesuai dengannya. Jika jiwa dan rohani tidak diberikan makanannya, maka akan pincanglah kehidupan manusia.

Seperti yang kita biasa lihat, pihak kerajaan dan kesihatan sentiasa mengiklankan dan menghebahkan kepentingan menjaga kesihatan daripada virus COVID-19, dan menjaga SOP setiap masa, begitu juga perlu diadakan program yang hampir sama berkenaan pengisian rohani dan tunjuk ajar yang betul bagi menghadapi situasi seperti ini. Media kerajaan, swasta, persendirian dan para ulamak serta asatizah perlu mengemukakan wacana yang bersesuaian dengan kesan ekonomi hari ini di medium-medium seperti:

(1) Khutbah Jumaat.
(2) Siaran radio.
(3) Siaran televisyen.
(4) Media sosial.
(5) Menyediakan perunding-perunding dan pakar-pakar motivasi.
(6) Dan lain-lain medium yang difikirkan sesuai.

Antara pengisian-pengisian dan tajuk-tajuk yang boleh dicadangkan ialah:

(1) Beriman dengan qada’ dan qadar.
(2) Jangan berputus asa dengan rahmat Allah.
(3) Nikmat Allah terlalu banyak berbanding sedikit ujian.
(4) Berita gembira untuk orang-orang yang bersabar.
(5) Makin besar ujian makin besar pahala.
(6) Orang yang paling susah ujiannya adalah para Nabi dan Rasul.
(7) Juga tajuk-tajuk khusus berkaitan mengurus suasana rumahtangga di musim sukar ini.

Termasuk juga tajuk-tajuk lain yang difikirkan sesuai.

Isu berbangkit: Darurat dan putus asa

(1) Darurat tidak menghalalkan segala-galanya.

Sebahagian orang yang tidak berilmu, lemah jiwanya serta dikelilingi suasana yang kurang sihat, akan bermudah-mudah melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan agama dan fitrah kemanusiaan di atas alasan darurat seperti merompak, mencuri, scammer, menjual maruah diri dan lain-lain lagi maksiat dan jenayah yang sebenarnya tidak langsung menyelesaikan masalah yang dihadapi olehnya, bahkan menjerumuskan dirinya ke lembah masalah yang lebih besar lagi.

Sebagai panduan ringkas yang darurat tidak menghalalkan segala-galanya Sultanul Ulamak Syeikh Al ‘Izz bin Abd Salam menyebut di dalam القواعد الصغرى   :

ولا يحل بالإكراه زنا ولا قتل ولا لواط

“Paksaan (atau keadaan mendesak) tidak menghalalkan pembunuhan, zina dan liwat.”

Begitu juga mencuri ketika darurat perlulah dipastikan benar-benar tiada pilihan lain seperti berhutang, meminta bantuan atau sedekah, serta digunakan untuk keperluan asas dan sekadar melepaskan keterdesakannya sahaja. Jika habis segala ikhtiar lain barulah seseorang itu dikira darurat.

(2)Putus harapan.

Manusia apabila terlalu bergantung kepada diri sendiri sebelum ini atau bergantung kepada makhluk, tiba-tiba wujud situasi krisis seperti hari ini yang mana segala usaha yang dilakukan olehnya atau makhluk yang biasa membantunya sebelum ini tidak lagi dapat membantunya, maka akan wujud perasaan putus harapan sehingga merasakan tiada peluang lagi untuknya meneruskan kehidupan. Maka dia akan mengambil keputusan yang salah dengan membunuh diri.

Tetapi jika dia berharap dan bertawakal kepada Allah S.W.T dan dia yakin segala perkara yang sukar akan menjadi sangat mudah dengan izinNya, segala-galanya berlaku dengan ketentuanNya dan di sebalik setiap sesuatu ada hikmahnya, maka dia akan bersabar dan terus berharap kepada Allah S.W.T sehinggalah diberi jalan keluar. Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

“…dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”

(Yusuf: 87)

Harapan kita

Ini bukan kali pertama dunia menyaksikan wabak penyakit berjangkit bahkan sudah ratusan bahkan ribuan kali wabak penyakit melanda bangsa manusia sejak zaman berzaman. Sudah menjadi ‘Sunnatullah’ manusia akan diuji dengan pelbagai jenis ujian supaya dapat dinilai amalan mereka dalam menghadapi ujian ini. Seterusnya mendapat ganjaran di atas usaha dan tindakan mereka.

Oleh itu amat penting ditekankan pengisian rohani di musim yang mencabar ini supaya umat Islam khususnya dapat melepasi ujian wabak ini dengan sebaik mungkin. Bukan setakat berjaya memulihkan ekonomi bahkan berjaya membina jati diri yang kuat dalam menghadapi krisis dan yang lebih utama ialah mendapat ganjaran yang besar daripada Allah S.W.T apabila berjaya melepasi ujian ini. FirmanNya:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

“…Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”   

(az-Zumar: 10)

Lambat atau cepat krisis COVID-19 ini, ia pasti akan berakhir. Bezanya ialah bagaimana cara kita menghadapinya, adakah dengan cara yang salah dan memudaratkan diri sendiri serta orang lain, atau dengan panduan wahyu yang akan menatijahkan kejayaan di dunia dan akhirat.

YB MOHD AKMAL HJ KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 4/12/2020

- Advertisement -