PAS bukan seperti yang kamu sangka

- Advertisement -

ADA pihak menuduh PAS sebagai parti yang gila kuasa sehingga sanggup bekerjasama dengan siapa sahaja untuk menang.

Di sini saya nak beritahu kamu:

(1) Memang betul. PAS perlukan kuasa untuk melaksanakan agenda Islam yang menjadi teras dan dasar kepada perjuangan PAS. Kalau ‘memerlukan kuasa’ untuk melaksanakan agenda perjuangan itu dianggap gila maka semua parti yang ada di Malaysia ini adalah gila. DAP tidak akan dapat merealisasikan cita-cita perjuangannya kecuali mesti ada kuasa. Maka DAP juga gila. Begitu juga PKR dan PAN. Tapi mengapa hanya PAS yang dituduh gila? Apakah kamu sudah gila dalam membuat penilaian? Sebenarnya PAS berjuang agar kuasa tidak dimiliki oleh orang-orang gila.

(2) Tuduhan PAS bersedia bekerjasama dengan siapa sahaja. Itu adalah tuduhan buta dari penganalisis yang membuat analisa secara membabi buta. Kamu tidak lihatkah keengganan PAS menerima pelawaan Tun satu ketika dahulu agar PAS bergabung dengan PH? Kamu tidak lihatkah PAS menolak DAP dan PKR dan enggan bersama PAN? Ertinya tidak dengan semua orang PAS mahu berkerjasama.

- Advertisement -

Kamu kena sedar. Oleh kerana matlamat PAS ialah untuk mendaulatkan Islam maka Islam itulah keutamaan PAS. PAS tolak DAP kerana DAP tidak menerima Islam. PAS tolak PKR dan PAN kerana PKR dan PAN tidak menolak DAP yang menolak Islam. PAS bersama Umno dan BERSATU kerana Umno dan BERSATU menerima semangat dan cita-cita Islam. 

Kamu ingat PAS ini parti yang tak siuman kerana hanya sekali bersama orang itu dan sekali bersama orang ini kemudian menolak orang itu pula. Semuanya yang PAS lakukan kerana Islam. Contohnya ada seorang janda yang sangat menyayangi anak tunggalnya. Tiba-tiba masuk seorang lelaki kaya melamar si janda, namun lamarannya ditolak. Kemudian masuk pula seorang lelaki miskin melamar lalu diterimanya. Kamu ingat janda itu gila kah? Kerana hanya menerima lamaran seorang lelaki miskin dan menolak si lelaki kaya. 

Kamu yang berfikir dari sudut kebendaan memang menganggap si janda itu bodoh. Namun tahukah kamu… Wanita itu sangat mementingkan anaknya. Si lelaki kaya itu tidak dapat menerima anaknya… Lalu lamarannya ditolak. Manakala si lelaki miskin itu pula dapat menerima anaknya. Demi kebahagiaan anaknya lalu si miskin diterima sebagai suaminya.

PAS parti Islam. Maka sebarang urusan PAS akan pertimbangkan demi kepentingan Islam. Mana-mana penganalisis yang zero pengetahuan agama ditokok pula dengan fikrah Liberal akan melihat PAS sebagai parti yang hilang pertimbangan kerana kuasa. Sedangkan PAS sangat berhati-hati dalam mempertimbangkan kuasa.

Kesungguhan PAS memperkukuhkan PN dan meneguhkan MN adalah demi survival Islam dan Melayu. Manakala kesungguhan kamu menyerang PN dan MN adalah demi survival DAP dan idealisme Kuffar. Maka siapa yang gila sebenarnya?

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 4/12/2020

- Advertisement -