KUALA LUMPUR: Sememangnya amat diakui sukar untuk Umno menerima rakan-rakan BERSATU atas kegusaran yang ada, kerana luka dilalui itu pernah dirasai oleh PAS apabila terdapat ahli dan pimpinan keluar parti membentuk PAN.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, namun pendirian Umno terhadap BERSATU itu mesti dibezakan dari tindakan penolakan PAS terhadap anggota daripada PAN yang tidak sama keadaan tersebut.
Jelas beliau, BERSATU tidak sama dengan PAN yang bersekongkol dengan DAP, namun sekiranya parti yang dianggotai ramai oleh bekas ahli PAS itu tidak bersama DAP dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, PAS boleh menerima mereka kembali.
“In sya Allah, demi perpaduan ummah. Kenapa tidak?” ujarnya pada Wawancara Cepumas anjuran Umno Online dikendalikan Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan sebagai moderator yang bersiaran secara langsung malam tadi.
Menyentuh mengenai kesetiaan PAS, jurutera teknologi profesional ini menegaskan betapa PAS tidak pernah meninggalkan rakan politiknya di mana dalam banyak tahaluf siyasi, PAS yang khianat oleh rakan-rakannya dalam ikatan politik tersebut.
Beliau memberikan contoh ikatan politik PAS dalam Pakatan Rakyat yang akhirnya terlerai tanpa PAS meninggalkan koalisi itu, tetapi DAP mengambil kesempatan ataupun keputusan keluar daripada Pakatan Rakyat bersama alasan-alasan mereka.
“Yang pada PAS, perjanjian Pakatan Rakyat jelas, agree to disagree. Maknanya perkara yang melibatkan ideologi, jangan bertembung. Kalau PAS dengan cara PAS, engkau dengan cara engkau, atau DAP dengan cara DAP.
“Kita memperjuangkan RUU355, maka DAP walaupun dia tidak bersetuju, dia tak boleh nyatakan secara berdepan sebab kita rakan coalition. Itulah namanya agree to disagree,” jelasnya.
Namun katanya, beliau tidak nampak untuk PAS dengan Umno harus berbeza kerana kedua-duanya adalah parti Melayu yang berteraskan Islam dan sama meletakkan Islam dalam Perlembagaan parti, sama juga sepertimana BERSATU.
Musuh dalam selimut
Sebaliknya, beliau mengajak untuk melihat siapakah ‘orang jahat’ yang cuba memutuskan perhubungan antara tiga parti itu, termasuk tidak mahu melihat Umno memaafkan BERSATU, sebaliknya sesama tiga parti ini berpecah.
“Kerana ego (sesama kita) ataupun kerana musuh-musuh dalam selimut yang mahu memecahkan kita? Dan apakah kelebihannya? Apakah kelebihannya kalau PAS, BERSATU dan Umno pecah? Kelebihannya ada pada Pakatan Harapan. Apakah equation tersebut bermula daripada situ?
“Ataupun kita muhasabah balik kepada parti-parti kita sendiri, siapa aktor-aktor yang bertanggungjawab yang ingin memusnahkan hubungan ini? Ini kita kena betulkan, dan ia bukan datang daripada Umno semata-mata. PAS juga perlu melihat di dalam PAS, BERSATU juga perlu melihat dalam BERSATU,” ujarnya.
Tegasnya, beliau tidak menuduh secara melulu, namun semua pihak tidak harus nafikan ada individu-individu yang tidak bertanggungjawab mahukan perkara ini berlaku, tetapi barangkali juga perkara tersebut datang dari kalangan pihak lawan.
Kerana menurutnya, apabila berurusan dalam organisasi sebegini, muhasabah atas jentera mesti dilakukan kerana semua orang tidak sempurna, selain wujud sikap mereka yang terlajak serta kalangan akar umbi kerana tidak memahami.
Perjanjian bersama
Berkenaan Kerajaan Perikatan Nasional, beliau mengakui berlaku keadaan-keadaan unprecedented yang mungkin juga terdapat keputusan diambil itu sedikit tidak menyenangkan mana-mana pihak, tetapi mesti terima bahawa PN bersifat care taker.
“Saya yakin, kalau adanya Majlis Presiden yang dimaklumkan alhamdulillah baru berlakunya pertemuan di antara Dato’ Seri Zahid Hamidi, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan juga Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
“Di mana dalam maklumat saya, in sya Allah Majlis Presiden ini akan bersidang sebulan sekali, secara minimum. Dan barangkali akan lebih banyak sekiranya berlaku isu-isu yang kritikal. Saya rasa inilah formula yang terbaik. Maknanya perkara-perkara bersifat dasar, biar Presiden yang tentukan di dalam mesyuarat Majlis Presiden.
“Jadi kalau ini berlaku in sya Allah kita boleh correct benda-benda yang berlaku sebelum ini yang kita nampak ada sedikit kesilapan ataupun terlajak keputusan-keputusan yang dibuat menyebabkan ada di kalangan kawan-kawan kita daripada PAS, daripada Umno terasa. Dan kawan saya daripada BERSATU pun ada juga yang terasa.
“Jadi, saya lebih melihat optimis kepada penyelesaian masalah. Dan inilah di antara penyelesaian masalah,” ujarnya mengharap antara tiga parti juga akan membuat perjanjian bertulis melibatkan pembahagian kerusi, kaedah hadapi PRU15, termasuk komposisi Kabinet selepas PRU15. – HARAKAHDAILY 4/12/2020