Kenapa vaksin tiada tanda logo halal JAKIM?

- Advertisement -

KENAPA vaksin tiada tanda logo Halal JAKIM? Adakah JAKIM mengeluarkan apa-apa fatwa mengenai penggunaan vaksin kepada bayi?

Jawapan:

(1) Kejayaan pemberian vaksin harus dilihat secara menyeluruh dengan penurunan secara mendadak kes-kes penyakit berjangkit seperti penyakit Campak (Measles), Polio, Cacar (Smallpox) dan beberapa jenis penyakit lain lagi. Penyakit Campak sebagai perbandingannya telah menunjukkan penurunan yang ketara. Dari jumlah kadar insiden 656.5/sejuta populasi (1982) sehingga kadar insiden 2.0/sejuta populasi (2009). Permulaan kempen pemberian vaksin di negara kita adalah pada tahun 1982 dan jumlah liputan pemberian vaksin meningkat melebihi 80 peratus sehingga sekarang. Ini menunjukkan kejayaan yang besar di dalam dunia perubatan moden.

(2) Asas fekah menyebut, berhukum dalam pengambilan sesuatu bahan itu asasnya berpegang kepada zahir sesuatu itu dikeluarkan. Apa yang termaktub dalam Product Insert/Information (PI), itulah yang patut dijadikan asas untuk diambil pegangan. Kaedah berhukum ini telah masyhur. Walaupun tidak salah jika kita berteliti dalam mengambil sesuatu bahan, tetapi pertanyaan berlebihan itu janganlah menyusahkan kehidupan. Islam itu mudah, tetapi jangan mempermudah-mudahkan. 

- Advertisement -

Kaedah pembiakan bakteria atau virus dalam proses pembuatan vaksin disebut seperti saya tulis di sini [1]. Penggunaan tapak semaian dan bahan surih berkaitan disebut secara asas. 

Dinyatakan juga dengan teliti dalam PI setiap pakej vaksin apakah excipient (kandungan) vaksin sama ada pengawet, penstabil dan adjuvan (bahan pembantu). Setakat zahir yang diisytiharkan, tiada yang meragukan.

Walaupun mencari yang halal itu wajib, tetapi dalam hal ini kita tidak wajib bertanya lebih. Memadai kita mengambil hukum zahir bahawa sesuatu ubat itu tiada bahan haram seperti yang dinyatakan dalam PI. Terdapat kaedah fiqh iaitu:

 الأصل في الأشياء الإباحة  

“Asal hukum segala sesuatu adalah harus. [2]” 

Sebagai perbandingan dalam industri pembuatan kek, bahan asas yang dimasukkan adalah Prophylene Glycol, Glycerin, pewarna dan pengawet. Adakah wajib kita bertanya lebih seperti apa yang dinyatakan oleh pembuatnya? Sudah tentu tidak. Jika setiap perkara yang kita ambil wajib diselidiki lebih dari zahirnya sesuatu kaedah pengeluaran, hidup ini akan menjadi semakin susah. 

Sedangkan kaedah fekah juga menyebut ‘Sesuatu yang sempit diluaskan’. Jika gula, minyak perencah makanan dan sebagainya kita usul secara terperinci, banyak yang kita semakin ragui. Contohnya dalam proses pengilangan sawit. Setelah dikait, tandan sawit akan dibawa untuk direbus dalam relung yang besar. Di sana semua biji sawit (yang masih bertandan) dilonggokkan, tiada pengasingan atau penyaringan belaku kecuali air basuhan. Tetapi dalam setiap tandan sawit itu banyak binatang yang terselit seperti, mengkarung, cicak, kala jengking, tikus malah ular pun ada. Semua binatang ini direbus bersekali tanpa pengasingan. Nah! Masih berselera lagi kah kita?

Jika sesuatu ubat mengandungi bahan terlarang (dalam dos tertentu) atau haram dari hukum agama seperti babi ia dinyatakan secara telus dalam PI tersebut. Inilah ketelusan dan kebertanggungjawaban yang diamalkan oleh KKM. Rakyat dalam negara kita pelbagai bangsa dan agama. Pilihan untuk memilih ubat mana yang mereka ingin guna adalah terserah kepada mereka. 

Tugas dan tanggungjawab doktor adalah menerangkan perkara asas itu. Jika nak terangkan kaedah pembuatan ubatan atau vaksin dari A-Z, jenuhlah pesakit lain tunggu kat luar bilik konsultasi. Yakinlah apa yang diluluskan oleh pemerintah. 

Berikut adalah bahan yang terkandung dalam vaksin: 

(1) Air. Seperti Air Nyah-kuman (Sterile Water), Air Salina (Normal Saline) dan Air berprotin.

(2) Bahan Pengawet (Preservatives) dan Bahan Tambahan (Additives). Seperti Albumin, Phenols, and Glycine.

(3) Bahan Pembantu (Adjuvan). Seperti Aluminium, Antibiotik, Protin Telur, Formaldehyde (dibuang sebelum dimasukkan dalam botol pakej – hanya dalam vaksin tertentu sahaja), Monosodium Glutamate dan Thimerosal(raksa). Thimerosal, telah dikeluarkan dalam senarai adjuvan sejak tahun 2007.

Tetiba ada pula yang pertikai kenapa tiada cop logo Halal JAKIM! Pengiktirafan logo Halal JAKIM perlu ikut prosedur tertentu. Boleh baca tulisan lanjut saya dalam isu logo halal ini dalam perubatan [3].

Buat masa ini pensijilan Halal JAKIM untuk produk berasaskan ubatan hanya dibuka untuk 3 kategori:

(1) Ubat Tradisional.
(2) Ubat Neutraceutical.
(3) Ubat bukan racun (OTC).

Hasil kerjasama sepenuhnya antara JAKIM dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan 3 kategori ubat tersebut telah diberi kebenaran penggunaan logo Halal pada label pembungkusan. Syarat utama kelulusan sesuatu produk itu mestilah selamat digunakan dan berstatus Good Manufacturing Practice (GMP).

Manakala produk kosmetik, proses permohonan pensijilan halal juga menggunakan kaedah sama. Cuma, dari sudut kesihatan dan perubatan, produk kosmetik ini tertakluk kepada Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Kod kelulusan BPKD adalah NOTxxxxxxx.

Minuman jus dan seumpamanya pula termasuk dalam kategori makanan. Ianya tertakluk kepada Akta Makanan 1983 dan Akta Pengiklanan 1956. Makanan bukan ubat atau vaksin. Makanan adalah makanan. Tidak boleh dakwa ianya ubat atau vaksin.

Semoga bermanfaat.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 4/12/2020

[1] http://suhazeli.com/wp/?p=1368
[2] http://halaqah.net/v10/index.php?topic=12168.5;wap2
[3] http://suhazeli.com/wp/?p=1272

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -