Gotong-Royong Perdana Khidmat Malaysia

Bersih rumah pasca banjir kilat- Ustaz Wan Sukairi

KUALA TERENGGANU: Khidmat Malaysia Kuala Terengganu menganjurkan Gotong-royong Perdana Pasca Banjir di dua Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan DUN Ladang, bermula esok Sabtu, 5 November.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, majlis gotong-royong perdana itu dilaksanakan di dua DUN Batu Buruk dan DUN Ladang.

Advertisement

Ini kerana, katanya dua DUN berkenaan dikesan teruk mengalami bencana banjir kilat dan air laut pasang besar di daerah Kuala Terengganu.

Menurutnya, operasi pembersihan rumah pasca banjir ini akan dilaksanakan oleh Khidmat Malaysia Daerah Kuala Terengganu dan dibantu oleh sukarelawan lain.

“Sukarelawan dari Khidmat Malaysia dan orang ramai termasuk Muslimat PAS, Ameerah akan bersama melakukan kerja-kerja pembersihan rumah penduduk yang menjadi mangsa banjir kerana rumah mereka ditenggelami air.

ROSAK. Harta benda penduduk ditenggelami air banjir di Kuala Terengganu.

“Kami (Khidmat Malaysia) mengajak seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, dan sukarelawan lain untuk bersama-sama dalam kerja pembersihan itu bermula jam 8.00 pagi hingga selesai.

“Kami juga akan menyediakan program ‘Dapur Rakyat’ dengan membuat masakan lauk-pauk dan nasi, untuk diagihkan kepada semua mangsa yang terlibat di kedua-dua DUN berkenaan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian usai Mesyuarat Khidmat Malaysia Kuala Terengganu yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Mohd Nor, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam, hari ini.

Rumah penduduk yang ditenggelami air kerana banjir dan air laut pasang besar.

Ustaz Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam menyeru kepada mana-mana NGO dan belia termasuk anggota Jabatan Amal Terengganu supaya turut serta menjayakan program ini.

Ketika ditanya, apakah visi dan misi Khidmat Malaysia agar lebih diyakini dan dikenali oleh rakyat seluruhnya, kata beliau Khidmat Malaysia sudah lama ditubuhkan dan berkhidmat.

“VISI: Menjadi organisasi pengurusan penyelamat, bantuan dan pemulihan bencana dan kecemasan yang terkehadapan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Manakala, MISI: Pertama, menjadi organisasi pilihan yang dipercayai dan diyakini di dalam pengurusan bencana dan kecemasan. Kedua, mewujudkan pasukan profesional dalam mengendalikan bencana dan mengurus kecemasan yang sentiasa prihatin, bersiap siaga, terkehadapan dan efektif.

“Ketiga, mewujudkan gerak kerja yang cekap, mahir dan berkesan dalam pengurusan sumber manusia, aset, maklumat dan kewangan dan keempat, membawa kesejahteraan kepada umat sejagat,” jelasnya.

Tambah beliau, Khidmat Malaysia mula aktif dan dikenali masyarakat di negeri ini sejak berlakunya banjir besar di daerah Kemaman pada tahun 2014 lalu.

Dalam pada itu, beliau menyeru sumbangan orang ramai bagi membantu meringankan beban mangsa banjir.

Katanya, orang ramai boleh membuat sumbangan kewangan melalui Akauan Maybank Muslim Care Malaysia 5644 9041 3882.- HARAKAHDAILY 4/12/2020