Amzad sumbang lima jet air

Majlis Penyerahan Sumbangan Waterjet kepada Ketua Operasi Pasca Banjir Jabatan Amal Kuala Terengganu, Ustaz Asyraf Ali di Pejabat Pusat Khidmat DUN Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pasca pembersihan banjir gelombang kedua di negeri Terengganu, kini tertumpu kepada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan DUN Ladang.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, ketika banjir kilat dan air laut pasang besar berlaku banyak rumah penduduk dinaiki air.

Malah, beliau dilaporkan terdapat kawasan perumahan yang tidak pernah dinaiki air tetapi pertama kali air memasuki rumah kerana hujan luar biasa itu.

Menurutnya, rumah pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus juga dinaiki air hingga mencecah hampir satu kaki.

“Hari ini, saya hadiri mesyuarat Khidmat Malaysia Kuala Terengganu yang di pengerusikan oleh Exco Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam.

“Saya bersetuju menyumbang lima buah set waterjet kepada Skuad Operasi Pasca Banjir ini yang diuruskan oleh Jabatan Amal Kuala Terengganu,” ujarnya kepada Harakah.

Beliau berkata demikian usai Majlis Penyerahan Sumbangan Waterjet kepada Ketua Operasi Pasca Banjir Jabatan Amal Kuala Terengganu, Ustaz Asyraf Ali di Pejabat Pusat Khidmat DUN Wakaf Mempelam, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya sumbangan lain berjumlah RM20,000 disalurkan segera bagi membantu rumah rakyat dari kalangan B40 yang ditenggelami air banjir tersebut.

Menurutnya, hujan yang luar biasa lebat dan fenomena air laut pasang besar pada 2 Disember lalu amat mengejutkan rakyat.

“Sebahagian (sumbangan) itu sebagai saguhati dan juga untuk menampung sebahagian bekalan makanan bermasak yang akan diagihkan di lokasi terpilih yang terjejas teruk.

“Saya lihat, Jabatan Amal bergandingan dengan Amerah dan Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu, membantu kerja-kerja pembersihan rumah rakyat yang terjejas secara sukarela sejak kelmarin lagi,” jelasnya.

Setakat jam 8 malam ini, seramai 1,858 mangsa ditempatkan di 52 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan 478 keluarga di seluruh negeri. – HARAKAHDAILY 4/12/2020

- Advertisement -