Tempah vaksin bendung penularan Covid-19

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kalau ada pihak menolak penggunaan vaksin dianggap tidak tepat dari segi agama memandangkan vaksin antara usaha bagi menangani wabak Covid.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sekiranya vaksin yang ditemui dibuat daripada bahan yang halal dan tidak bercanggah syarak apa salahnya.

- Advertisement -

“Ini merupakan salah satu ikhtiar kita untuk mengelak wabak Covid-19, kita harap kerajaan melakukan kajian terperinci dan merujuk kepada pihak berkuasa agama kandungan vaksin yang ditempah,” katanya di sini semalam.

Malaysia sebelum ini dilaporkan akan menerima 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 6.4 juta rakyat negara ini.

Penghantaran pertamanya sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun hadapan, disusuli dengan 1.7 juta suku kedua, 5.8 juta suku ketiga dan 4.3 juta dos pada suku keempat 2021.

Mohd Amar berkata, tempahan vaksin tersebut merupakan ikhtiar kerajaan untuk membendung penularan Covid-19 di negara ini.

Menurutnya juga kerajaan membuat kajian mengenai kes positif Covid-19 yang berlaku sekarang bagi menilai sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Kelantan akan disambung atau tidak. – HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -