Selamat Hari OKU Sedunia 2020

- Advertisement -

GOLONGAN Orang Kurang Upaya (OKU) adalah sebahagian daripada masyarakat yang sentiasa dekat dan diberi perhatian oleh saya dan kerajaan. Sebagai kerajaan yang prihatin, saya akan memastikan golongan ini mempunyai hak dan peluang sama rata untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. 

Saya sendiri telah beberapa kali turun menemui golongan ini sebagaimana ketika kunjungan saya ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak serta PPR Taman Sri Keramat, Putatan, Sabah sebelum ini. 

- Advertisement -

Rentetan itu, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah mengumumkan beberapa inisiatif yang boleh membantu golongan OKU ketika membentangkan Belanjawan 2021 baru-baru ini, antaranya menaikkan bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja daripada RM250 ke RM300, kadar elaun pekerja OKU RM400 ke RM450 serta bantuan penjagaan OKU daripada RM350 ke RM500. 

Mengambil kira keadaan ekonomi serta kos sara hidup semasa, saya juga telah mengusulkan agar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkan ke RM1,000, yang pastinya golongan OKU juga termasuk dalam kumpulan masyarakat yang akan mendapat faedah dari kenaikan itu. Saya akan pastikan cadangan ini dapat dilaksanakan segera. Insya-Allah

Mengikut rekod JKM, bilangan OKU berdaftar di Malaysia setakat ini adalah berjumlah 581,265 orang. Saya harap kempen mendaftarkan OKU dipergiatkan lagi bagi memastikan tiada OKU yang tercicir dan tidak diberikan perhatian. Perkara ini sangat penting untuk menjamin golongan ini tidak terlepas daripada menerima bantuan Kerajaan, terutamanya ketika situasi sukar penularan pandemik COVID-19. 

Saya doakan semoga golongan OKU diberikan tempat sebaiknya dalam kalangan masyarakat, seterusnya dapat sama-sama berperanan dalam pembangunan negara. Selamat Hari OKU Sedunia 2020.

“Membina Kesejahteraan OKU”
“Mendepani Perubahan”

YAB TAN SRI DATO’ MUHYIDDIN MOHD YASSIN
Perdana Menteri Malaysia – HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -