PH kecundang lagi untuk gagalkan hubungan MN, PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dilihat telah kecundang untuk mempertahankan penolakan mereka terhadap Belanjawan 2021 yang dibentangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di mana akhirnya lulus di Dewan Rakyat minggu lalu.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik menyifatkan PH kini hanya bergantung nasib kepada ‘cybertrooper’ upahan mereka sahaja untuk meneruskan kerja-kerja membelasah parti-parti kerajaan.

“Mereka sekadar ‘syok’ kerana dapat membelasah BERSATU, Umno  dan PAS. Namun serangan itu tidak banyak mempengaruhi netizen untuk bencikan parti-parti kerajaan. Tidak lebih hanya bagaikan ular sawa membelit mata gergaji,” ujar beliau.

Malah, beliau percaya ikrar tiga Presiden parti besar Melayu-Muslim ini menjadi jalan penamat buat PH apabila terus melangsungkan komitmen untuk mengukuhkan hubungan ketiga-tiganya BERSATU, PAS dan Umno.

Kelmarin dahulu Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan bersama.

“Kami berbincang mengenai usaha-usaha untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara BERSATU, PAS dan Umno,” ujar Muhyiddin memuat naik gambar di _Facebook_ beliau pada pertemuan dipercayai di Bangunan Parlimen itu.

Kata Ustaz Mokhtar, walaupun PH dilihat tidak akan serik untuk terus menggugat Kerajaan PN, namun pasti kehampaan tetap bersarang di setiap hati pimpinan koalisi yang terus bergolak dan bersengketa teruk sejak PRU14 itu.

“Apa tidaknya, persetujuan untuk ketiga-tiga parti mempastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRU15 nanti benar-benar bagai halilintar buat PH.

“Jangka hayat PH akan semakin pendek bila PN dan MN semakin kukuh. Saya yakin pimpinan ketiga-tiga parti itu menyedari hakikat ini. Ayuh kita perteguhkan MN dan PN,” ,” ujar beliau merujuk pertemuan pimpinan tertinggi PAS, BERSATU dan Umno itu.

Kelmarin, Perikatan Nasional juga telah mengadakan mesyuarat yang antara diputuskan adalah untuk mewujudkan Majlis Presiden di mana akan mengukuhkan peranan parti-parti dalam membawa agenda kerajaan. – HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -