Peruntukan RM100 juta selenggara tahfiz, pondok, SAR

Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi tujuan penyelenggaraan Sekolah Tahfiz, Sekolah Pondok Berdaftar dan Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan ini disediakan di bawah Bekalan 11 (B11) Perkhimatan Am Perbendaharaan di bawah butiran 021300 – Pemberian Kemudahan Projek Khas.

“Butiran B11 yang disediakan RM922 juta, berdasarkan amalan digunakan untuk membiayai langkah tambahan yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2021,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching [PH-Kulai] meminta kerajaan mengulas butiran dan program aktiviti bawah B11 yang memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta kepada Sekolah Tahfiz, Sekolah Pondok Berdaftar dan Sekolah Agama Rakyat.

- Advertisement -

Dalam pada itu, Zafrul turut memaklumkan langkah-langkah ucapan Belanjawan yang turut dibiayai di bawah peruntukan itu ialah keperluan tambahan RM120 juta bagi penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan untuk pelajar miskin, geran padanan untuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan social enterprise.

“Sebanyak RM100 juta terutamanya bagi program peningkatan pendapatan bagi golongan rentan, menangani isu sosial seperti penderaan kanak-kanak dan gelandangan,” katanya.

Selain itu, pelbagai langkah yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat termasuk peluasan subsidi pengangkutan awam bas, geran untuk taska, pusat aktiviti warga emas serta perkhidmatan Mesin Juruwang Automatik (ATM) bergerak bagi pedalaman Sabah dan Sarawak. – HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -