PAS akan pertahan hubungan bersama Umno, BERSATU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Matlamat ke arah kesatuan ummah dan kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara, menuntut PAS, Umno dan BERSATU agar komited dalam mempertahankan kerjasama ketiga-tiga parti teras Melayu itu.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof menegaskan pendirian itu bahawa PAS mahukan gandingan dengan Umno dalam Muafakat Nasional melibatkan penyertaan bersama BERSATU dalam Perikatan Nasional.

“PAS sentiasa usahakan jalinan hubungan yang lebih baik. In sya Allah kekhilafan yang wujud sedang diharmonikan oleh pimpinan di peringkat Pusat dan ia akan diikuti oleh peringkat negeri-negeri,” ujarnya menjelaskan bahawa pendirian PAS Negeri-negeri adalah selari dengan PAS Pusat.

Beliau turut yakin segala berkaitan hubungan terutama antara Umno dan BERSATU akan ditangani dan diselaraskan pimpinan kedua-dua parti, sekali gus MN dan PN akan memasuki PRU15 untuk mencapai kemenangan.

Ustaz Fauzi yang ditanya Utusan Malaysia mengenai kemungkinan pertindihan kerusi antara parti-parti tersebut dalam PRU15 nanti juga menyatakan bahawa perkara tersebut perlu diserahkan kepada pimpinan peringkat Pusat.

Kelmarin dahulu Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan bersama.

“Kami berbincang mengenai usaha-usaha untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara BERSATU, PAS dan Umno,” ujar Muhyiddin memuat naik gambar di Facebook beliau pada pertemuan dipercayai di Bangunan Parlimen itu.

Malah kelmarin, Perikatan Nasional telah mengadakan mesyuarat yang mana antara diputuskan adalah untuk mewujudkan Majlis Presiden di mana akan mengukuhkan peranan parti-parti dalam membawa agenda kerajaan. – HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -