Isu kuil: MIC perlu sedia ke meja rundingan

- Advertisement -

SEMUA pihak perlu kembali ke meja rundingan. Isu perobohan kuil bukanlah isu yang baru, ianya pernah menjadi isu kepada semua Kerajaan (BN, PH dan kini PN). Isu ini tidak dapat diselesaikan jika kita saling menuding jari antara satu sama lain. MIC tidak berpuas hati dengan kepimpinan YAB Menteri Besar (MB) Kedah, mereka menyelar MB bukan seorang ahli politik yang senior sebab itu berlaku isu sebegini, itu adalah satu kenyataan yang tidak tepat. 

MB Kedah sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas MB Kedah dan juga ketua pembangkang DUN Kedah. Beliau telah melaksanakan segala tugas dengan penuh berhemah dan mengikut Perlembagaan. Tidak dinafikan juga MB di negeri-negeri lain adalah dari kalangan muka baru. Mereka mempunyai pegawai-pegawai kerajaan untuk menasihati mereka. 

- Advertisement -

Janganlah apabila MB tidak mendengar arahan dari mana-mana parti politik, MB itu dilabel dan dikecam. Di negeri lain pimpinan PAS seperti Kelantan dan Terengganu juga tiada wakil dari MIC akan tetapi kebajikan kaum India tetap dijaga dengan sempurna. Tidak perlulah untuk MIC menimbulkan satu persepsi dengan mengatakan kebajikan masyarakat kaum India hanya terjaga di bawah pimpinan MIC. 

Walaupun 60 tahun MIC pernah menjadi kerajaan mereka kena terima kenyataan bahawa kepimpinan mereka ditolak majoriti masyarakat kaum India di Malaysia. Saya juga berasa sedih walaupun mempunyai pengalaman yang begitu banyak tetapi mereka gagal untuk memahami cara menyelesaikan masalah yang timbul melalui meja rundingan.

Pada bulan lepas Pesuruhjaya PAS Kedah juga telah mengajak mana-mana pihak yang mempunyai masalah boleh ke meja rundingan untuk menyelesaikan dengan cara diplomatik. Wakil DHPP sebagai Pegawai Khas MB Kedah (Wakil India) juga telah melaksanakan pelbagai perkara melibatkan kebajikan masyarakat kaum dan sehingga kini banyak masalah telah berjaya diselesaikan oleh beliau. 

Saya menyeru MIC dan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati untuk segera ke meja rundingan dan mencapai kata sepakat demi kebaikan dan masa depan rakyat. Tiada gunanya berbalah sesama kita!

YB SENATOR BALASUBRAMANIAM NACHIAPPAN
Ketua DHPP Pusat – HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -