Cegah remaja terjebak jenayah mesti dilipatgandakan

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) memandang serius perkongsian oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika Majlis Pelancaran Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (Mekar) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Horizon Hill Golf and Country Club di sini semalam mengenai trend semasa statistik jenayah yang melibatkan kanak-kanak serta pelajar sekolah.

DPPNJ berharap agar sebarang usaha pencegahan yang telah dan sedang dilakukan oleh pihak berwajib dapat diteruskan dan dilipatgandakan walaupun indeks jenayah didapati menurun sejak 2018. Ini kerana remaja merupakan golongan yang sangat mudah terpengaruh apatah lagi di zaman ini di mana semua maklumat hanya berada di hujung jari.

- Advertisement -

DPPNJ meyakini lebih banyak aktiviti pembangunan modal insan yang bersifat menyeluruh dan komprehensif dapat dilaksanakan untuk para belia di Johor dengan kewujudan lebih banyak Youth Centre (Pusat Belia) sebagaimana yang disarankan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

DPPNJ dapat melihat kesungguhan Kerajaan Negeri Johor dalam meneruskan usaha membangunkan belia Johor melalui satu peruntukan perbelanjaan yang besar pada tahun 2021 dan diharap sebahagiannya dapat disalurkan untuk melaksanakan program-program yang lebih positif demi mengawal dan mengurangkn lagi statistik jenayah di kalangan remaja khususnya.

DPPNJ juga menyokong penuh usaha pihak PDRM bersama pihak UTM dengan pelancaran Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (Mekar) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menggesa agar semua pihak bersedia untuk menjayakannya.

DPPNJ juga merasa bertuah kerana Johor merupakan salah sebuah negeri yang memiliki sistem dan institusi pendidikan Islam yang sangat baik dan berharap usaha menangani kes jenayah terus diberikan penekanan melalui pendidikan sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah (Islam).

DPPNJ melihat bahawa semua saranan yang dinyatakan sangat bertepatan dengan satu peribahasa iaitu mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Wallahu’alam bissawab ( والله أعلمُ بالـصـواب )

USTAZ AHMAD NAWFAL MAHFODZ
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -