Usahawan sumbang tong sampah bantu PBT

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

TUMPAT: Pemilik Nasi Berlauk Kak Chik, Che Halimah Che Ahmad menyerahkan dua tong roro bernilai RM15,000 kepada Majlis Daerah Tumpat (MDT).

Tong roro berkenaan diserah oleh Halimah kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat, Mohd Azri Abd Rahman pada program yang diadakan di perkarangan kedai makan berkenaan di Kampung Berangan, dekat sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu, Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan; Setiausaha Majlis Daerah Tumpat, Mohd Khairil Hazmie Yusof dan pemimpin masyarakat.

- Advertisement -

Che Halimah atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Chik berkata, beliau mengambil keputusan untuk menderma tong roro itu sebagai ganti tong sampah yang dibekal oleh MDT sudah agak uzur.

Katanya, sumbangan itu sebagai tanggungjawab kebajikan pihaknya kepada MDT dan orang awam.

“Orang kampung juga boleh membuang sampah di sini sebelum diangkut petugas bahagian kebersihan MDT. Jadi, tidak ada masalah untuk sama-sama guna kemudahan itu,” ujarnya pada program berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin mengucapkan terima kasih pada Kak Chik di atas inisiatifnya itu.

Menurutnya, mudah-mudahan usaha itu juga (menderma tong sampah) menjadi contoh pada pihak lain untuk membuat perkara yang sama.

“Ini kerana menjaga kebersihan bukan hanya tanggungjawab mana-mana PBT semata-mata sebaliknya orang ramai juga.

“Kami mengucapkan terima kasih di atas inisiatif Kak Chik yang memang terkenal dengan produk nasi berlauk yang popular di seluruh negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -