UniMAP fokus agenda keusahawanan pelajar

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited memperkasa agenda keusahawanan digital serta meningkatkan kemahiran pelajar menguasai teknologi terutama mendepani cabaran pandemik Covid-19.

Naib Canselornya, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, ia selaras dengan agenda Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melahirkan lebih ramai graduan yang mampu menjadi job creator atau penyedia peluang pekerjaan.

Advertisement

Menurutnya, UniMAP berhasrat menjadi sebahagian daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara melalui aktiviti keusahawanan pelajar di universiti.

“Dan pada masa sama menyasarkan sekitar 5 peratus graduan yang memiliki perniagaan selepas tamat pengajian.

“Buat masa sekarang, hala tuju keusahawanan UniMAP adalah selari dengan hasrat KPT menerusi Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2016-2020 yang berteras kepada kesedaran (awareness), pemerkasaan (empower) dan pelengkap (equip),” katanya pada satu kenyataan, di sini.

Kata beliau juga, 100 peratus pelajar UniMAP diberi pendedahan ilmu keusahawanan melalui mata pelajaran elektif dan wajib universiti yang perlu diikuti sepanjang pengajian termasuk berkaitan keusahawanan digital dan teknologi.

Selain itu turut menekankan kepada usaha melahirkan 15 peratus usahawan pelajar sepanjang tempoh pengajian.

“Atas dasar itu, UniMAP menyambut baik usaha KPT dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang memilih UniMAP sebagai IPT Perintis dalam menjayakan Program KPT-MEDAC Siswapreneur dengan peruntukan pembiayaan sebanyak RM20 juta bagi pelajar memula dan mengembangkan perniagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/12/2020