Sektor perkhidmatan sumbang pertumbuhan ekonomi terbesar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebanyak 57.7 peratus pada tahun lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup berkata, sektor pembuatan pula sektor kedua terbesar yang menyumbang sebanyak 22.3 peratus kepada KDNK.

- Advertisement -

“Ia diikuti oleh sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian yang masing-masing menyumbang sebanyak 7.1 peratus.

“Sektor kelima ialah sektor pembinaan yang menyumbang sebanyak 4.7 peratus kepada KDNK dalam tempoh yang sama,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) meminta kerajaan menyatakan lima sektor ekonomi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang amat ketara kepada ekonomi negara apabila pertumbuhan KDNK bagi bulan Januari 2020 sehingga September 2020 telah menguncup sebanyak 6.4 peratus.

Manakala prestasi ekonomi pada Suku Ketiga Tahun 2020 masih mencatat penguncupan sebanyak 2.7 peratus.

Bagaimanapun, Arthur berkata terdapat beberapa indikator yang mula menunjukkan prestasi ekonomi lebih baik antaranya Prestasi Indeks Pengeluaran Sektor Pembuatan telah meningkat sebanyak 2.1 peratus pada bulan September 2020 berbanding dengan penguncupan 2.1 peratus pada bulan Ogos
2020.

Selain itu, nilai jualan sektor pembuatan juga telah mencatat peningkatan sebanyak 3.7 peratus pada bulan September kepada RM121.2 bilion serta harga minyak sawit mentah pula telah kembali mencecah paras melebihi RM3,000 per tan pada bulan November 2020, iaitu RM3,422 per tan berbanding paras terendah sebanyak RM2,074 per tan pada bulan Mei 2020.

Manakala, harga getah SMR20 meningkat ke paras tertinggi kepada RM6.33 sekilogram pada bulan November 2020 berbanding RM4.73 sekilogram, iaitu paras harga terendah pada bulan April 2020. – HARAKAHDAILY 2/12/2020

- Advertisement -