Satu hari kutip dana bina rumah – MCM

- Advertisement -

JASIN: Timbalan Presiden NGO Muslim Care Malaysia (MCM), Mohd Johari Ismail, mendedahkan mereka hanya mengambil masa satu hari sahaja mengumpulkan dana sebanyak RM33,000 untuk membina rumah seorang asnaf, Syaharudin Mashor di Kampung Serkam Pantai dalam program ‘Home2Live’ anjuran NGO itu.

“Alhamdulillah, hebatnya rakyat Malaysia dalam menyumbang membantu masyarakat yang sedang ditimpa bencana. Rumah ini kita bina dalam satu bulan setengah di atas tanah milik keluarga Syaharudin,” ujar Mohd Johari.

- Advertisement -

Menurut Mohd Johari, projek ini adalah atas usaha Dewan Muslimat PAS Melaka yang memohon MCM untuk mengusahakan bantuan membina rumah ini.

Menurut beliau lagi, selain daripada projek ini terdapat beberapa lagi projek membina rumah seperti ini di beberapa lokasi di seluruh negara.

“Sekarang ini yang dalam progres kita ada di Johor. Di Bukit Pasir kita ada dua buah rumah yang dah hampir 50 peratus siap dan yang terbaru di Kampung Seri Dungun, Pontian Besar.

“Di Pontian, kita bina sebuah rumah mengaji dan juga permohonan membina kembali rumah yang terbakar baru-baru ini di tempat yang sama. Ada lima buah rumah terbakar. Kita akan bangunkan semula, Insya Allah. Semua ini adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia,” ujar Mohd Johari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily semasa lawatan ke rumah yang disumbangkan Muslim Care Malaysia itu, di Serkam Pantai di sini tengahari tadi.

Sementara itu Presiden Muslim Care Southern Region, Dr Kamarudin Abu Hassan yang turut serta dalam majlis penyerahan itu berkata, selain bantuan untuk Syaharudin, Muslim Care Malaysia turut akan membantu anak-anak beliau agar dapat meneruskan pengajian dengan sempurna.

“Salah satu matlamat dalam Muslim Care ialah membangunkan pendidikan anak-anak bagi mereka yang daif.

“Jadi matlamat kami untuk anak-anak ini, kami ada biro kami untuk membangunkan pendidikan anak-anak supaya anak-anak ini bila dia besar dia dapat membantu ibu bapanya agar lebih baik kehidupannya,” jelas Kamarudin.

Menurut Kamarudin lagi pihak Muslim Care akan menjaga kebajikan anak-anak Syaharudin dengan cara berurusan terus dengan pihak sekolah bagi melihat apa bantuan terus yang boleh mereka sumbangkan agar anak-anak ini boleh belajar dengan selesa dan dapat memajukan diri mereka.

Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Melaka, Anida Haron yang merupakan orang yang bertanggungjawab menguruskan program bantuan ini pula berkata, program ini tercetus daripada siri program Ziarah Kasih yang dijalankan oleh LKK Dewan Muslimat PAS Melaka sebelum ini

“Kami telah pun memilih rumah Encik Syaharudin untuk kita bina semula daripada rumah yang lama, terus dapat satu rumah baharu yang selesa yang beliau layak duduk.

“Alhamdulillah program ini, banyak lagi tempat lain yang kita sedang buat. Tapi ini yang permulaan bagi Negeri Melaka, rumah Encik Syaharudin ni yang pertama,” ujar Anida.

Tambah Anida lagi selain projek ini, ada beberapa lagi projek bantuan seperti ini yang sedang dalam proses pembinaan di Parlimen Tangga Batu dan Parlimen Kota Melaka di bawah Muslim Care dan LKK Dewan Muslimat PAS Melaka.

Sementara itu Syaharudin yang ditemui ketika majlis penyerahan itu melahirkan rasa syukur dan mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan dalam program Home2Live sumbangan Muslim Care Malaysia yang telah diterimanya ini.

“Syukur kerana Allah SWT telah menggerakkan hamba-hamba-Nya membantu. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mana yang telah membantu.

“Saya mendoakan semua selamat dunia akhirat, dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab dan Allah SWT sahaja yang membalas jasa mereka.

“Tak lupa kepada Muslim Care yang bertungkus lumus dan sesiapa sahaja yang saya tidak tahu (yang telah menyumbang). Semoga Allah SWT yang akan membalasnya,” ujar Syaharudin.

Syaharudin yang bekerja sendiri dengan melakukan berbagai-bagai usaha untuk menyara keluarga antaranya menjadi tukang urut, pemotong rumput di samping berniaga secara kecil-kecilan ini berkata beliau akan menginap di rumah yang baru diterimanya ini bersama isteri dan empat orang anaknya.

Terdahulu satu majlis simbolik penyerahan kunci rumah program ‘Home2Care’ ini telah diadakan di Surau Umri Serkam di mana Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga Penasihat Agama Ketua Menteri Melaka, Datuk Kamarudin Sidek dan Adun Serkam, Datuk Zaidi Attan turut memberi ucapan penghargaan atas kejayaan program ini. – HARAKAHDAILY 2/12/2020

- Advertisement -