Permuafakatan yang menuntut pengorbanan

- Advertisement -

KEJAYAAN mendapat kelulusan peringkat dasar Belanjawan 2021 terus diraikan pelbagai pihak dari rakyat jelata, para pemain industri, para pekerja dan peniaga, petani, nelayan dan terutamanya parti pemerintah. Ura-ura kononnya pihak pembangkang berhajat menggagalkan belanjawan ini tidak kesampaian apabila berlaku kekeliruan dan percanggahan pendapat sesama mereka.

Apa pun yang penting tugas dan komitmen untuk memerangi pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan memulihkan kembali kehidupan rakyat dan negara menjadi tanggungjawab besar kerajaan dan mudah-mudahan Belanjawan ini yang telah dirancang untuk menghadapinya akan memberi kelegaan dan masa depan yang meyakinkan buat semua.

- Advertisement -

Satu perkembangan menarik lanjutan peristiwa ini adalah kesediaan parti-parti yang mendukung Kerajaan Perikatan Nasional memberikan sokongan padu terhadap belanjawan ini walaupun bangkit pelbagai spekulasi yang terbukti tidak berasas.

Cabaran pihak pembangkang adalah lumrah dan menghadapinya adalah tugas parti pemerintah namun yang lebih mencabar dan rumit adalah membina muafakat dan persefahaman sesama parti yang mendukung kerajaan kerana kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan runtuh dan ranap segala-galanya.

Kesepakatan parti-parti utama dalam kerajaan khasnya BN dan PAS selain parti-parti Borneo lain dan BERSATU dalam mengangkat Belanjawan ini adalah isyarat bahawa kesemua parti sanggup dan bersedia berkorban demi nasib dan masa depan rakyat dan negara walaupun sesama mereka punya banyak perbezaan.

Sesungguhnya pengorbanan politik seumpama ini telah mula dipelopori oleh Muafakat Nasional (MN) iaitu permuafakatan antara PAS dan Umno lebih setahun lalu. Ianya bukan sesuatu yang mudah bagi parti yang telah berseturu puluhan tahun lamanya namun kerana mahu membela agama, bangsa dan negara, masing-masing berkorban demi mengejar cita-cita yang sama yang menjamin nasib anak-anak bangsa tidak lagi terancam dan diabaikan.

Bersedia bermuafakat itu adalah pengorbanan yang besar dan masing-masing terus menggenggam ikatan kesatuan ini bersungguh-sungguh dan terus membinanya di peringkat akar-umbi melampaui beberapa Pilihan Raya Kecil yang telah menghasilkan siri-siri kejayaan.

Ada yang mempersoal kenapa siri-siri PRK yang dimaksudkan cuma BN sahaja yang bertanding sedangkan PAS cuma menjadi soldadu, berkerja menggerakkan jenteranya yang turun mencurah-curah dari segenap penjuru tanah air mempromosi calon BN sedangkan di kerusi-kerusi berkenaan contohnya Cameron Highlands, Semenyih dan lain-lain PAS pernah bertanding sebelumnya. Jawabnya itulah pengorbanan yang dimaksudkan.

Kematangan berpolitik dan berpandangan jauh adalah kekuatan muafakat ini yang akhirnya diterjemahkan dengan pengorbanan demi pengorbanan yang memperkasakan lagi muafakat yang telah dibina bersama. 

Bila pula BN mahu berkorban untuk PAS? Pasti ada masa dan ketikanya kerana pengorbanan demi memperkukuhkan muafakat ini tidak bertepuk sebelah tangan. BN juga nanti akan perlu berkorban, dan tolak ansur inilah nanti yang bakal menjamin kejayaan cita-cita politik yang diimpikan. 

Contohnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu, pastinya pengorbanan yang dituntut dari BN adalah memberi laluan pada PAS di kerusi-kerusi yang PAS menang sama ada Parlimen mahupun DUN sebagaimana PAS lakukan dalam siri-siri PRK yang dimaksudkan dan begitu juga diyakini akan dilakukan PAS di negeri-negeri lain yang BN menang.

Kerusi-kerusi yang dimenangi PH dan pembangkang yang lain, itulah yang kita rundingkan sesama kita juga dengan penuh tertib dan kematangan. Semua ini menuntut pengorbanan kerana kemenangan dan kejayaan bersama mustahil boleh berlaku tanpa kerjasama dan persefahaman.

Belanjawan 2021 dibawa oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dari BERSATU. Ramai membuat spekulasi kononnya kerana faktor pertelagahan antara Umno dan BERSATU, maka Belanjawan ini akan gagal kerana wakil Parlimen Umno dijangka berkecuali atau menolaknya.

Sesungguhnya mereka lupa bahawa walaupun banyak berbeza antara Umno dan BERSATU atau Perikatan Nasional, Umno dan BN merupakan parti yang mendukung kerajaan ini sehinggakan duduk dalam Kabinet PM. 

Munasabahkah BN sanggup menggagalkan Belanjawan sehingga roboh kerajaan ini dan membiarkan musuh bersama iaitu Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP kembali berkuasa? Ia tidak boleh dan malah tidak berlaku.

Kelulusan Belanjawan ini membuktikan bahawa jalan perpaduan dan muafakat boleh saja dibuka dan diteroka bersama oleh semua parti yang berkepentingan dalam kerajaan. Syaratnya masing-masing perlu berkorban, kerana kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan malapetaka PRU14 berulang dan kesudahannya kaduk akan kembali naik junjung.

PAS telah membuka langkah. Hasil pengorbanan politik yang besar jalinan muafakat dan kerjasama telah dibina bersama Umno dan BN. PAS juga menyambung talian kerjasama dengan BERSATU melalui PN demi memperkasakan cita-cita memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Umno dan BN membuktikan keterbukaan mereka apabila sanggup berkerjasama dengan PAS demikian juga BERSATU. Kini langkah politik seterusnya adalah antara BN dan BERSATU.

Mampukah kedua parti berkorban demi ummah dan watan untuk menjalin kesepakatan politik ‘grand coalition’ yang besar, iaitu permuafakatan besar kuasa politik Melayu Islam di tanah air bersama PAS?

Jika Belanjawan 2021 yang cukup mencabar itu dapat diluluskan, mengapa tidak kerjasama politik ini yang pastinya menjanjikan keuntungan buat semua dan jaminan bahawa musuh politik utama iaitu PH akan terus kecundang dan berkubur. Segalanya dapat menjadi nyata dengan syarat semua pihak berlapang dada dan bersedia berkorban. 

Ke manakah kesudahannya politik orang Melayu Islam nantinya jika kita gagal bersatu dan bersetia kawan? Berkorbanlah demi maruah dan masa depan anak cucu kita, biar bumi dipijak kekal milik kita selamanya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 2/12/2020

- Advertisement -