Penglibatan Malaysia dalam penyelidikan di ISS

ISS merupakan makmal bagi penyelidikan dalam keadaan mikrograviti (pengaruh graviti hampir sifar). ISS juga membolehkan saintis mendedahkan bahan kajian dan menguji teknologi dalam persekitaran ekstrem di angkasa. Sepanjang 20 tahun ISS beroperasi hampir 3,000 penyelidikan daripada lebih 100 negara telah dilaksanakan dalam bidang sains bumi dan angkasa, fisiologi manusia, biologi dan bioteknologi, sains fizikal, aktiviti pendidikan serta pembangunan teknologi. 

Penglibatan Malaysia dalam aktiviti penyelidikan di ISS adalah melalui Program Angkasawan Negara (PAN) yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan universiti tempatan. Kajian PAN di ISS dilaksanakan oleh angkasawan pertama negara iaitu Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor. Sepanjang 10 hari berada di ISS mulai 10 Oktober 2007, beliau berjaya melaksanakan 6 kajian yang merangkumi bidang sains perubatan (3 kajian), mikrobiologi (2 kajian) dan penghabluran protein (1 kajian). 

Advertisement

Selain itu, beliau juga melakukan beberapa kajian lain serta demonstrasi gerakan objek berputar seperti gasing bagi tujuan pendidikan. Beliau juga membawa makanan tradisi Malaysia ke angkasa dan melaksanakan ibadah solat dan berpuasa berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta telah dijadikan rujukan bagi angkasawan Islam lain di ISS.

Pada peringkat awal, program PAN menyumbang kepada pembangunan 97 modal insan (termasuk 13 pelajar pasca siswazah) yang terlibat dalam aktiviti sebelum dan selepas pelaksanaan kajian di ISS , 8 paten yang difailkan di Malaysia dan antarabangsa serta 24 kertas penyelidikan. Aktiviti di bawah program PAN diteruskan dan program ini dijenamakan semula kepada Program Mikrograviti Negara.

Untuk maklumat lanjut berkaitan teknologi angkasa ikuti laman Agensi Angkasa Malaysia – MYSA

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 2/12/2020