Pembiayaan mikro tanpa faedah lahirkan ramai usahawan

- Advertisement -

DALAM suasana mencabar pandemik Covid-19, antara golongan yang teruk terjejas adalah dalam kalangan para peniaga kecil sama ada penjaja jalanan, peniaga pasar malam dan juga golongan yang terlibat di dalam Industri Kecil Sederhana (IKS).

Selain itu, golongan graduan yang baru menamatkan pengajian juga terkesan memandangkan peluang pekerjaan baharu yang ditawarkan dalam tempoh penularan wabak ini berkurangan.

Ditambah pula dengan pemberhentian pekerja oleh syarikat-syarikat yang terkesan dengan Covid-19 menjadikan bilangan penganggur di negara kita semakin bertambah.

- Advertisement -

Sebagai jalan penyelesaian, kerajaan menawarkan pelbagai program dan insentif bagi tujuan mencipta peluang pekerjaan dan menjana pendapatan baharu kepada kelompok yang terjejas ini.

Antara inisiatif menarik bagi membantu golongan terjejas ini adalah program pembiayaan Mikro BangKIT yang ditawarkan oleh Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, pembiayaan Mikro BangKIT yang merupakan salah satu projek di bawah program Sadaqah House ini menawarkan pembiayaan tanpa faedah berbentuk kontrak Al Qard di mana para usahawan boleh mendapatkan pembiayaan memulakan perniagaan bermula serendah RM500 sehingga RM3,000 bagi peniaga baharu dan RM20,000 bagi tujuan pengembangan perniagaan.

Tempoh bayaran balik bagi pembiayaan tanpa faedah ini adalah di antara enam bulan sehingga tiga tahun.

Dana bagi tujuan perlaksanaan program Mikro BangKIT yang diperolehi daripada sumbangan orang ramai melalui program Sadaqah House dilihat sebagai salah satu kejayaan inovasi program sedekah dan infak bagi tujuan membangunkan masyarakat.

Kaedah pemberian pinjaman tanpa faedah melalui instrumen sedekah ini dilihat dapat mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap dana yang diperolehi berbanding dana yang diperolehi melalui bantuan secara one off.

Projek yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed, ini diharapkan dapat melahirkan lebih ramai lagi usahawan baharu selari dengan agenda kerajaan di dalam bajet baru-baru ini.

Program Mikro BangKIT ini juga diharapkan menjadi penyelamat kepada golongan usahawan daripada terjebak dengan pinjaman tidak berlesen ataupun “ahlong” memandangkan program pembiayaan ini tidak memerlukan penjamin dan cagaran bagi tujuan pembiayaan.

Para peminjam perlu daftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mempunyai rancangan perniagaan serta akaun Bank Islam bagi tujuan permohonan pembiayaan. Walaupun kelihatan agak sukar, ianya merupakan prosedur biasa yang perlu dipatuhi oleh peminjam bagi memenuhi syarat perbankan.

Kesungguhan Bank Islam menjalankan program ini memperlihatkan kepada kita tentang kesungguhan institusi perbankan tidak semata-mata mengutamakan keuntungan, tetapi juga berusaha membantu golongan yang unbankable iaitu tidak mempunyai kelayakan untuk membuat pinjaman bank tetapi mampu mempunyai akses kepada bank.

Inisiatif ini juga dilihat menyokong agenda Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based intermediation atau VBI) yang digagaskan oleh Bank Negara Malaysia untuk dilaksanakan oleh semua institusi kewangan bagi tujuan memastikan penerapan nilai kemanusiaan diterapkan dalam operasi institusi kewangan khususnya perbankan.

MOHD FAISAL MUSTAFFA
Pengarah
Pusat Kajian Kemiskinan & Pembangunan Pelajar Asnaf Kedah

- Advertisement -