Paling penting tidak bertembung 3 penjuru

KOTA BHARU: Apa yang penting tidak berlaku pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, biarpun Umno tidak berminat menyertai Perikatan Nasional (PN).

Pertembungan banyak penjuru tentunya merugikan, sebaliknya memberi peluang kepada pihak lawan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, PAS berharap tidak berlaku pertembungan sesama sendiri pada PRU ke-15.

Kata beliau, perkara itu telah dipersetujui pada asasnya tidak ada pertembungan berlaku memandangkan PAS juga bersama Perikatan Nasional (PN).

Advertisement

“PAS sentiasa bersikap terbuka terhadap hasrat Umno yang akan menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) pada PRU-15, memandangkan parti itu tidak berada dalam kompenan PN.

“Itu tidak menjadi perkara besar biarpun Umno mengumum akan menggunakan lambang BN. Tidak menjadi masalah kepada PAS asalkan ia dilaksanakan sebaik mungkin tanpa pertembungan antara BN dan PN.

“Mengikut struktur politik, Umno tidak berada bersama PN, jadi apabila mereka mahu bertanding atas tiket BN tidak ada masalah,” ujarnya selepas mesyuarat Exco di MABNA MBI Kota Darulnaim, hari ini.

Baru-baru ini, Naib Presiden Umno Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor memberitahu Umno akan menggunakan lambang BN pada PRU 15 dan tidak menggunakan PN.

PN dibentuk pada akhir Februari lepas setelah Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) berikutan konflik dalaman dalam pakatan tersebut.

Pertembungan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi merebut jawatan perdana menteri akhirnya menyebabkan PH runtuh.

Peralihan kuasa yang dijanjikan Dr Mahathir kepada Anwar tidak menjadi kenyataan sehingga muncul Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyelamatkan keadaan melalui bahtera baru dinamakan PN.

Bagaimanapun Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, sekiranya Umno dapat duduk bersama dalam PN ia lagi baik.

“Pada hakikatnya ramai yang berharap begitu tetapi itu hak Umno,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 2/12/2020