MB, EXCO Kedah potong zakat pendapatan ‘auto debit’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Negeri Kedah telah melaksanakan pemotongan zakat pendapatan secara ‘auto debit’ bermula bulan ini melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu, perkara itu selaras titah Sultan Kedah supaya semua kakitangan agensi kerajaan, GLC dan swasta membayar zakat pendapatan masing-masing melalui potongan gaji bulanan.

Menurutnya, Tuanku Sultan sendiri berbuat demikian mulai Mei lalu dan arahan dikeluarkan kepada semua agensi kerajaan juga supaya membuat taksiran kelayakan zakat kepada semua kakitangan beragama Islam.

- Advertisement -

“Bagi memaklumkan untuk pengetahuan semua bahawa sehingga pagi 8:30 pagi ini, kutipan zakat bagi tahun 2020 di Kedah berjumlah RM186,391,642.36. Di mana zakat pendapatan adalah penyumbang terbesar iaitu 56.2 peratus ataupun RM104,736,984.

“Bagi tahun 2019, jumlah zakat yang dibayar kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah berjumlah RM207,455,866. Dengan zakat pendapatan sahaja berjumlah RM118,758,237.

“Semua kutipan zakat di Kedah diagihkan melalui lebih 60 skim bantuan untuk asnaf dan telah memberi faedah kepada begitu ramai asnaf di Kedah. Sehingga hari ini potongan gaji zakat pendapatan kakitangan kerajaan negeri kepada lembaga zakat ialah RM230,345.35 sebulan, melibatkan 4,061 kakitangan awam.

“Dan bagi Kerajaan Persekutuan pula berjumlah RM3,518,248.16 sebulan melibatkan 40,888 kakitangan awam,” maklumnya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota EXCO kerana sudi menjadi contoh kepada semua rakyat Kedah bagi menunaikan zakat pendapatan masing-masing secara potongan gaji bulanan tersebut.

Sanusi juga berhasrat memanjangkan niat dan usaha baik tersebut kepada seluruh ADUN, ahli politik dan para pemimpin beragama Islam supaya syariat agama Islam dipandang tinggi dan dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Semoga dengan kesedaran menunaikan rukun ketiga ini, Allah terus memberi keberkatan, rahmat dan ketenangan dan kebahagiaan kepada kita semua untuk berkhidmat dan memberi yang terbaik kepada Kedah Darul Aman.

“Di sinilah jalan untuk kita merealisasikan slogan tempat orang kaya berbakti, tempat orang miskin berteduh di negeri Kedah yang kita cintai ini,” ujar beliau yang juga ADUN Jeneri. – HARAKAHDAILY 2/12/2020

- Advertisement -