Kerajaan PN masih utuh tadbir negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejayaan Dewan Rakyat meluluskan lima belanjawan di peringkat jawatankuasa setakat ini membuktikan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih utuh untuk terus mentadbir negara lebih baik.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berpandangan bahawa tidak mustahil kerajaan akan mendapat sokongan padu bagi Dewan Rakyat meluluskan belanjawan untuk kesemua peringkat jawatankuasa (27).

“Pada hari Isnin 30 November, Dewan Rakyat menyaksikan Kerajaan PN mendapat undi majoriti bagi pembentangan jawatankuasa Kementerian Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan (MOF).

- Advertisement -

“Ini bermakna, Kerajaan PN sudah mendahului tiga mata, berbanding pembangkang yang masih gagal. Hari ini (semalam) pula menyaksikan tiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 bagi tiga kementerian diluluskan, dengan dua darinya menerusi suara ramai dan satu lulus secara undi belah bahagi.

“Sekali gus, menunjukkan Kerajaan PN utuh dengan mendahului lima mata berbalas kosong daripada pembangkang. Tidak mustahil, kerajaan Perikatan Nasional akan mendapat sokongan padu 27-0,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Shahir berkata, meneliti perkembangan itu mengambarkan pemimpin PKR (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) yang disebut-sebut mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia, ternyata gagal mendapat sokongan Ahli Parlimen pada waktu pengundian.

Dalam pada itu, katanya secara tersirat Pakatan Harapan plus atau Parti Warisan kini meragui kepimpinan Ketua Pembangkang apabila ahli Parlimen mereka mengambil pendirian berkecuali dan tidak hadir ke Dewan Rakyat, sekali gus menunjukkan kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat kepercayaan Ahli-ahli Parlimen.

“Ini bermakna, segala bentuk drama politik yang dicanang oleh Ketua Pembangkang sebelum ini ternyata cerita dongeng.

“Secara tersiratnya, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dapat dilihat apabila keputusan Baginda untuk menstabilkan kerajaan hari ini dibuat tanpa membenarkan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menukar kerajaan berdasarkan angka sokongan yang tidak betul,” jelas Shahir lagi. – HARAKAHDAILY 2/12/2020

- Advertisement -