Henti keganasan terhadap wanita

- Advertisement -

SAYA mengecam tindakan seorang lelaki bertindak kasar dengan menampar juruwang wanita yang hamil lima bulan dalam kejadian di sebuah pasar raya di Klang menerusi sebuah video yang tular di media sosial.

Saya percaya tindakan lelaki yang menampar wanita berkenaan seolah-olah mencederakan anggota keluarga perempuannya seperti ibu, anak, kakak, adik, nenek atau isterinya sendiri.

- Advertisement -

Saya difahamkan kertas siasatan telah dibuka namun saya harap agar siasatan terperinci dilakukan bagi kes tersebut dan penyelesaian terbaik dapat dicapai.

Ketika COVID-19 melanda negara, tuntutan mencari rezeki bagi menyara keluarga tidak lagi mudah. Wanita berkenaan juga terpaksa bekerja sebagai juruwang dan dalam pada masa yang sama mengurus rumah tangga.

Pengorbanan wanita itu wajar dihargai bagi memudahkan urusan orang ramai membeli keperluan asas dan sanggup meletakkan diri dalam risiko dijangkiti virus itu.

Justeru, tanpa mengira bangsa dan agama, marilah kita saling hormat menghormati antara satu sama lain. saya juga berharap agar kejadian seumpama itu tidak lagi berlaku.

YB ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
2 Disember 2020 – HARAKAHDAILY 2/12/2020

- Advertisement -