Helwa Care dedah ibu tunggal kepentingan caruman KWSP

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Helwa Care Kuantan dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Beserah telah menganjurkan program ‘Masih Ada Yang Sayang’ bertempat di PASTI As-Salam, Sungai Karang Darat, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Pengerusi Helwa Care, Salwani Salleh berkata, program khas untuk ibu tunggal ini membawa khas pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Negeri Pahang untuk memberi penerangan berkaitan caruman.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah keadaan dilalui ibu tunggal. Merekalah ibu, mereka jugalah ayah kepada anak-anak demi sesuap nasi untuk teruskan hidup,” ujarnya.

Penerangan telah disampaikan Ketua KWSP Pahang, Muhamed Zubir Alias dan Pegawai Khidmat Persaraan KWSP, Azlinor Abdul Aziz serta Ketua KWSP Cawangan Kuantan, Nooranizan Mahmud.

Ia melibatkan mengenai keahlian e-Kasih dan i-Suri di mana boleh dicarum minimum RM5 setiap bulan, juga i-Saraan secara caruman sukarela bagi yang tiada majikan, selain penjelasan caruman patuh syariah dan untuk B40.

Pengarah Program, Azmoni Mohd memberitahu, selain program tersebut, Helwa Care juga berperanan menaik taraf hidup wanita seperti mengadakan kelas tuisyen, mengaji, latihan, kursus motivasi serta lawatan bersesuaian.

ADUN Beserah, Andansura Rabu yang menyempurnakan penutup program turut menyeru agar para ibu tunggal memahami kepentingan mencarum menerusi KWSP itu demi masa depan terutama di usia emas.

Sempena program ini juga pihak Helwa Care telah menyerahkan sumbangan kepada para ibu tunggal yang disampaikan oleh Andansura. – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -