Firdaus Wong jawab sanggahan Ramasamy isu arak

Pemimpin DAP itu menyanggah fakta secara emosi dan mensasarkan PAS dalam tuduhannya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Garis Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (GPLMK) bukan pengharaman penjualan tetapi adalah cara kawalan dan pencegahan terhadap isu berkaitan arak.

- Advertisement -

Presiden Multiracial Reverted Muslim, Firdaus Wong Wai Hung menyanggah dakwaan bahawa GPLMK adalah pengekangan hak ke atas rakyat bukan-Islam seperti dituduhkan pemimpin politik DAP, Prof Dr Ramasamy Palanisamy.

Menurutnya, peraturan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu supaya masyarakat tidak mempunyai akses mudah mendapatkan arak, sekali gus menangani masalah sosial termasuk keganasan rumah tangga dan kematian.

Jelas Firdaus, apabila dikawal bermakna tidak akan dijual di semua tempat kerana boleh mendatangkan mudarat jika disalahgunakan sepertimana juga peraturan diadakan dalam pengambilan ubat-ubatan.

“Jika peraturan itu dikatakan membunuh peniaga kecil, bagaimana pula dengan pemandu mabuk yang membunuh keluarga kecil? Peniaga kecil runcit sepatutnya menjual barangan keperluan asas, sebab tidak ramai yang membeli arak.

“Lagipun, arak bukan keperluan asas, ia sampingan sahaja. Kedai runcit patut jual barangan runcit. Jika hendak jual arak, tukar status kepada bar,” ujar pendakwah muda ini seperti disiarkan WilayahKu, hari ini.

Kelmarin, Ramasamy menerusi Facebook beliau terus mempertikaikan peraturan tersebut dan mempertikaikan segala fakta serta realiti sedia terbentang, selain mendakwa menyebabkan ketakutan kepada bukan-Islam.

Malah, beliau juga menyifatkan peraturan tersebut terdapat motif politik tersembunyi dan menolak bukti telah dibentangkan sebagai maklumat yang tidak mencukupi untuk dijadikan konklusi disebalik isu-isu mengaitkan arak.

Sifatkan sebagai langkah ‘pro-Islam’

“Sekiranya saya tidak salah, golongan Tsar agama PAS telah menekan (Tan Sri TPr) Annuar (Musa) untuk mengambil langkah-langkah pro-Islam. Malangnya, di negara ini, langkah pro-Islam mesti dilihat berkaitan dengan penindasan hak orang bukan-Islam.

“Hak-hak ini tidak dapat disekat dengan mengeluarkan naratif pro-Islam, kerana ini mungkin mempunyai kos atau implikasi politik yang tinggi,” ujar Ramasamy yang terang nyata berbaur provokasi melampau dan menyerang Menteri Wilayah Persekutuan.

Malah, ketidakwajaran Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang ini kian menyerlah apabila menuduh statistik hingga dikeluarkan peraturan tersebut telah dimanipulasi dan menempelak pendirian MIC sebagai memalukan.

Beliau turut menyifatkan MIC telah melepaskan hak orang bukan-Islam dan mengangguk setuju tanpa menyedari impak besar, selain sebagai pencabulan dan ejekan oleh pemerintah baharu pro-Melayu.

Malah, langkah itu juga dituduhkannya sebagai agenda jahat PAS dan sedang mendorong ke negeri lain, selain menyatakan pemimpin PAS sedang tersenyum lebar kerana berjaya dalam sesuatu yang lama sukar dicapai Umno. – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -