Belum bercadang bahas laporan SUHAKAM di Dewan Rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan perlu mengambil kira baki hari persidangan Dewan Rakyat sekiranya ingin membahaskan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Katanya, kerajaan juga mesti mengambil kira Rang Undang-Undang (RUU) yang akan menyusul dan berkaitan dengan RUU Perbekalan 2021.

- Advertisement -

“Sekiranya Laporan Tahunan SUHAKAM ini hendak dibahaskan, ia perlulah dikemukakan melalui suatu usul Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Dalam hal ini, kerajaan perlu mengambil kira baki hari persidangan yang masih ada iaitu pada 16 dan 17 Disember 2020 serta Rang Undang-Undang yang akan menyusuli dan berkaitan dengan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan berniat membenarkan laporan tahunan SUHAKAM dibahaskan oleh Dewan Rakyat.

Menurut Takiyuddin, Laporan Tahunan SUHAKAM Tahun 2018 telah dibentang di Dewan Rakyat pada 11 April 2019 dan dibahaskan pada 5 Disember 2019 melalui usul oleh Menteri di JPM dan seterusnya dipersetujui.

Manakala katanya, Laporan Tahunan SUHAKAM Tahun 2019 telah dibentang pada 4 November lalu sebagai Kertas Statut, selaras Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang menetapkan laporan tersebut hendaklah dikemukakan atau dibentangkan di Parlimen tetapi tidak menyatakan untuk dibahaskan.

“Akta berkenaan menetapkan laporan ini hendaklah dikemukakan atau dibentangkan di Parlimen tetapi tidak menyatakan untuk dibahaskan,” katanya.

Beliau juga berkata buat masa ini kerajaan belum bercadang membuka atau membuat satu usul untuk membahaskan laporan berkenaan memandangkan urusan kerajaan perlu didahulukan sebagaimana ‘standing order’ dan sidang Dewan Rakyat tidak mempunyai masa yang mencukupi – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -