PH kibar bendera putih, telah akui legitimasi PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) telah mengibarkan bendera putih dan dilihat tiada lagi kesungguhan untuk menjadi pemerintah di mana tidak mengemukakan sebarang perancangan ekonomi sempena Belanjawan 2021.

Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, sebelum PRU14, rakyat boleh melihat PH bersungguh-sungguh mahu memerintah apabila setiap tahun mengemukakan Belanjawan Alternatif mereka.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia itu menyenaraikan tema Belanjawan Alternatif tersebut iaitu ‘Mengelakkan Krisis’ (2016), ‘PH Menentukan Masa Hadapan’ (2017) dan ‘Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih PH’ (2018).

- Advertisement -

“Tiba-tiba setelah kembali jadi pembangkang langsung tiada Belanjawan Alternatif 2021? Sebab itulah ramai yang amat sangsi dengan kesungguhan PH untuk jadi pemerintah.

“Tanpa sebarang perancangan ekonomi, apa boleh berlaku jika PH balik jadi pemerintah?” persoal beliau yang terdahulu mengupas bahawa PH sudah mengibarkan bendera putih dan lemahnya motivasi koalisi itu sekarang.

Dr Kamarul mengemukakan beberapa petikan daripada pendukung PH sendiri antaranya Otai Reformasi yang menyebut “game dah over”, “tunggu sajalah PRU 15 untuk tukar kerajaan” dan “SD banyak-banyak tu boleh kasi frame cantik-cantik untuk kenang-kenangan”.

Juga pengakuan berani pendukung PAN, “Nak tak nak memang kena tunggu angka dari MP kerajaan sendiri untuk belot… Kalau tak sanggup bekerjasama dengan either pengkhianat, kleptokrat dan penjual agama, stop daydreaming akan dapat balik kuasa, baik fokus pada PRU 15″.

Termasuk kenyataan media rasmi Pemuda PAN Nasional berbunyi “Pemuda AMANAH mengingatkan tiada keperluan untuk menaruh kepercayaan terhadap sokongan Umno kepada Pakatan Harapan”.

Ditambah lagi pula oleh kenyataan media rasmi DAPSY yang mendesak DAP “berpisah dengan PKR” dan “membubarkan Pakatan Harapan” serta kenyataan media rasmi Wanita Muda Nasional PAN yang mendesak “AMANAH mengkaji semula kedudukan parti dalam gabungan Pakatan Harapan”.

Lebih menarik apabila Dr Kamarul memetik reaksi Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid terhadap PH sedangkan dikenali selama ini seorang yang agak mesra gabungan itu.

“Undi Khamis lalu sepatutnya perlu menjadi undi hilang keyakinan de facto terhadap Kerajaan PN. Peluang seperti ini tidak muncul dua kali. Menolak undi belah bahagi adalah sama dengan menerima legitimasi Kerajaan PN, pintu belakang atau tidak. PH boleh buat lebih baik jika ia menyediakan Bajet Bayangan.

“Dalam situasi sekarang, ia malah tidak mempunyai Kabinet Bayangan, yang menceritakan banyak mengenai ketidakmampuannya menghadam fakta bahawa ia tidak boleh sentiasa berharap untuk mengambil-alih kerajaan ini melalui pembelotan, seperti apa yang ada dalam fikiran Anwar Ibrahim bila beliau mengumumkan kepada negara pada 23 September bahawa Kerajaan Muhyiddin telah jatuh.

“Kepercayaan telah dikhianati. Undi Bajet kali pertama adalah detik yang amat ditunggu-tunggu. Secara Perlembagaan, ia adalah peluang yang telah disia-siakan, sama ada kerana takut melawan Agong atau kerana PH sendiri tidak mempunyai nombor yang cukup. Bagi mengembalikan kepercayaan, mereka perlu menunjukkan kesediaan untuk memainkan peranan bermakna sebagai blok pembangkang sehingga pilihan raya umum seterusnya dalam tempoh dua ke tiga tahun.

“Susun team PH dalam bentuk Kabinet Bayangan, sediakan pemimpin-pemimpin muda untuk menggantikan generasi Anwar, berhenti bercakap mengenai ketiadaan legitimasi pada kerajaan pintu belakang ini bila PH sendiri telah memberikannya legitimasi. Mereka kerajaan pintu belakang, tetapi mereka sekarang duduk selesa dalam dewan secara sah,” ujar petikan tersebut.

Demikian itu kata Dr Kamarul, nyatalah ‘game’ ini sepertinya sudah berakhir dan lengkaplah episod pengibaran bendera putih ini di mana peluang telah disia-siakan PH dan legitimasi Kerajaan PN telah diakui untuk PH kekal membangkang hingga PRU15. – HARAKAHDAILY 30/11/2020

- Advertisement -