Hak wanita di sebalik isu pengabaian nafkah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hak seorang isteri adalah kuasa atas sesuatu yang ditentukan oleh undang-undang, adat dan agama di mana menuntut seorang suami menunaikannya sebagai tanggungjawab iaitu kewajiban mesti dipikul.

- Advertisement -

Naib Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Marlina Amir Hamzah mengupas tajuk ‘Pengabaian Nafkah: Apa Hak Wanita?’ dalam Webinar anjuran Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, kelmarin.

“Apabila kita bicarakan hak-hak seorang isteri di mahkamah, perkara pertama sekali yang perlu didedahkan adalah status perkahwinan itu sah atau tidak? Hak seorang isteri hanya boleh dituntut sekiranya perkahwinan itu berstatus sah.

“Kerana itu perkahwinan ini merupakan satu akad yang sangat kuat. Harus difahami juga hak seorang isteri itu banyak dan nafkah itu adalah salah satu daripadanya,” ujar beliau.

Nafkah isteri hurainya, terbahagi kepada berbentuk material dan bukan material di mana mengikut jumhur adalah seperti makan minum, tempat tinggal, pakaian dan perubatan yang perlu dipenuhi suami selagi isteri tidak disabit nusyuz.

Iaitu terang peguam berpengalaman ini, seorang isteri itu berhak ke atas nafkah tersebut daripada suaminya, selagi mana tanggungjawab seorang isteri telah dilaksanakan sebaiknya.

“Antara nafkah lain seorang isteri juga adalah mahar perkahwinan. Mahar sekiranya tidak dibayar atau dihutang ketika majlis akad nikah, maka ia boleh dituntut oleh seorang isteri. Seandainya berlaku kematian, ia juga merupakan satu hutang yang boleh dituntut oleh isteri sebelum harta pusaka dibahagikan.

“Selain itu, didikan agama dan pergaulan yang baik juga merupakan antara nafkah yang berhak ditunaikan ke atas seorang isteri,” lanjut beliau dalam kupasannya itu.

Bahkan nyata beliau, nafkah harus munasabah dan mengikut kemampuan, sekali gus seorang isteri mahupun suami perlu mengamalkan komunikasi yang baik agar sesuatu hak itu dapat dijelaskan sebaik mungkin.

“Begitu juga perihal perbezaan antara duit belanja dan nafkah. Dapatkan penjelasan dari suami duit tersebut untuk apa dan ambil tahu apakah yang dimaksudkan oleh suami mengenai nafkah,” tegas beliau.

Nafkah atau harta sepencarian?

Beliau turut mengingatkan berkaitan perkongsian penamaan dalam pembiayaan sesebuah rumah oleh suami dan isteri yang perlu diperhalusi di mana hendaklah diterangkan secara terang dan nyata sama ada ia nafkah atau harta sepencarian.

Kerana menurutnya, terdapat beberapa tuntutan yang boleh dibuat oleh seorang isteri yang diketegorikan sebagai kematian suami di mana diperinci Marlina kepada tiga pecahan.

Pertama, isteri tersebut berhak menuntut harta sepencarian iaitu harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan apabila berlaku perceraian, kematian atau poligami.

Kedua, mereka juga berhak mendapatkan bahagian harta pusaka di mana bahagian untuk isteri yang tidak mempunyai anak adalah 1/4, manakala bahagian untuk isteri mempunyai anak pula adalah 1/8 daripada harta pusaka tersebut.

“Harta sepencarian mesti diselesaikan terlebih dahulu sebelum ditolak untuk harta pusaka. Katakanlah terdapat harta bersama yang bernilai RM 100,000 misalnya, maka RM 50,000 di situ adalah bahagian isteri seorang sahaja dan baki RM 50,000 lagi baru dibahagikan sebagai harta pusaka,” jelas beliau.

Ketiga, menurut beliau, seorang isteri mempunyai hak untuk menuntut nafkah tertunggak yang tidak dituntut semasa tempoh perkahwinan, iaitu apabila berlaku perceraian atau kematian suami.

“Nafkah tertunggak isteri juga tidak memerlukan pada perintah sebelumnya. Maksudnya, andai sepanjang tempoh perkahwinan tiada perintah nafkah dari mahkamah, ia tidak akan menyebabkan seorang isteri itu tidak berhak untuk menuntut nafkah tertunggak ini,” katanya

Nafkah tertunggak ini terangnya, boleh berlaku dalam tempoh perkahwinan bebanan perbelanjaan ditanggung oleh isteri semata, maka apabila berlaku kematian atau penceraian, si isteri boleh menuntut nafkah tertunggak untuk tempoh itu.

“Demikian antara hak-hak yang boleh dituntut seandainya berlaku kematian. Manakala seandainya berlaku penceraian, si isteri boleh membuat tuntutan ke atas nafkah sepencarian, nafkah tertunggak, nafkah mut’ah dan iddah,” terang beliau.

Bantuan mengemuka tuntutan

Marlina turut memberitahu bahawa sesuatu tuntutan nafkah perlu dibawa ke mahkamah, namun, bagi mereka yang benar-benar tiada kemampuan membuat tuntutan ia boleh membuat permohonan kepada Jabatan Bantu Guaman.

Manakala dalam situasi perintah nafkah sudah dikeluarkan tetapi tidak dapat dilaksanakan atau diabaikan, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang akan memainkan peranan menjadi pihak pelaksanaan perintah tersebut.

Beliau turut menyatakan sesuatu yang selalu diabaikan oleh seorang wanita juga adalah perihal resit perbelajaan barang keperluan yang ditanggung.

“Apabila adanya kes-kes seperti isteri mendakwa nafkah yang diberikan tidak cukup oleh seorang suami misalnya, hakim perlu menitik beratkan juga kos-kos perbelanjaan barang keperluan seperti lampin anak, susu anak dan sebagainya agar mahkamah jelas berapa sebenarnya yang diperlukan.

“Dengan adanya resit tersebut, anggaran perbelanjaan yang betul dapat dibuat bersama. Walau bagaimanapun, cubalah berbincang sehabis baik dahulu antara suami isteri agar hak dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi dapat dilaksanakan sebaiknya,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 30/11/2020

- Advertisement -