Belanjawan 2021: Dewan Rakyat lulus peruntukan JPM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas dibuat undian belah bahagi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Azhar Azizan Harun mengumumkan jumlah ahli Parlimen yang bersetuju seramai 105 orang dan yang tidak bersetuju 95 orang, namun yang tidak hadir adalah 20 orang.

- Advertisement -

Terdahulu, Dato’ Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) mencadangkan undi belah bahagi dibuat selepas tamatnya perbahasan peringkat jawatankuasa bagi peruntukan pengurusan dan pembangunan untuk Jabatan Perdana Menteri.

Cadangan undi belah bahagi itu disokong oleh lebih 15 anggota Parlimen yang bangun menyokong supaya RUU itu diundi dengan kaedah tersebut.

Sebelum itu, sesi penggulungan dilakukan oleh lima menteri JPM dimulai Dr Maximus Ongkili, Mohd Redzuan Md Yusof, Dato’ Seri Mustapa Mohamed, Dato’ Takiyuddin Hassan dan Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

JPM diperuntukkan RM11.69 bilion dengan RM4.47 bilion untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan RM7.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Pada Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2021 selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada ahli Parlimen melalui undian suara.

Keputusan itu diumumkan oleh Azhar dalam sidang Dewan Rakyat pada petang itu. – HARAKAHDAILY 30/11/2020

- Advertisement -